Selasa, 18 Februari 2020 | 2:17pm
Rossa memberitahu wartawan isteri arwah, Bunga dan anak mereka, Noah, tabah berdepan dugaan. Foto IG Rossa
Rossa memberitahu wartawan isteri arwah, Bunga dan anak mereka, Noah, tabah berdepan dugaan. Foto IG Rossa

'Bunga, Noah kuat'

KUALA LUMPUR: ‘Bunga dan Noah kuat.’

Itu komen penyanyi popular Indonesia, Rossa, yang menjadi antara kenalan selebriti terawal menziarahi jenazah Allahyarham Ashraf Sinclair di rumah mayat di Jakarta.

Memberitahu KOMPAS.com, Rossa berkata, isteri arwah, Bunga Citra Lestari (BCL) dan anak tunggal mereka, Noah Aidan Sinclair, tabah.

“Bunga dan Noah alhamdulillah menguatkan diri,” katanya sebaik habis menziarahi jenazah.

Rossa dilaporkan berkata, keluarga Ashraf dari Kuala Lumpur dijangka terus menuju ke tempat pengebumian aktor itu di San Diego Hills, Kerawang, Jawa Barat.

“Keluarga di Jakarta masih menunggu famili Ashraf dari Kuala Lumpur. Mungkin langsung (pergi terus) ke San Diego Hills,” katanya.

Sementara itu, rumah duka atau rumah mayat yang menempatkan jenazah Ashraf, mula dikunjungi orang ramai sejak pagi tadi.

Bagaimanapun, media dilarang memasuki premis itu berikutan pagarnya ditutup rapat dan dikawal ketat petugas keamanan berbaju hitam.

Manakala bendera kuning dipasang di setiap sudut di rumah pasangan berkenaan, lapor KOMPAS.com. - AGENSI

Berita Harian X