Ahad, 16 Februari 2020 | 6:42pm
Erra dan Awie menghiburkan peminat pada Konsert Awie Romantika di Stadium Malawati Shah Alam, malam tadi. Foto Aswadi Alias
Erra dan Awie menghiburkan peminat pada Konsert Awie Romantika di Stadium Malawati Shah Alam, malam tadi. Foto Aswadi Alias

Awie lamar Erra dalam konsert?

KUALA LUMPUR: Berita Datuk Awie ‘melamar’ bekas tunangnya, Erra Fazira pada Konsert Awie Romantika di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi, hangat diperkatakan.

Tambah mengejutkan, Erra yang masih solo, ‘menerima’ lamaran vokalis kumpulan Wings itu. Lebih menggamatkan penonton, Erra mengizinkan Awie menyarung cincin tanda di jari manisnya.

Tindakan Awie itu mengundang sorakan penonton yang terkejut dengan ‘adegan’ tidak diduga itu.

Namun, usah lekas membuat andaian. Babak romantis itu sekadar mengimbau memori lebih dua dekad lalu, ketika pasangan itu mula-mula berpacaran dan mengikat pertunangan.

Awie memberitahu, apa yang dipaparkan dirancang awal dan mendapat persetujuan isteri, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri yang sangat memahami dan memberi keizinan untuk saya paparkan kenangan lalu dalam konsert ini.

“Mujur dia beri keizinan, kalau tidak, tak tahulah apalah yang akan terjadi,” katanya sebelum konsert berakhir.

Seperti dijanjikan sebelum ini, Awie dan Erra meleraikan tanda tanya mengapa ikatan pertunangan mereka tidak bertahan lama.

Berdasarkan kisah dipaparkan, hubungan Awie dan Erra retak disebabkan rasa cemburu dan hasutan orang lain.

Malah, status rocker terkenal dipegang Awie dan gelaran ratu cantik disandang Erra, membuatkan pasangan ini saling ‘makan hati’.

Pada konsert itu, Awie yang terkenal dengan lagu Dipenjara Janji turut membuat kejutan dengan meraikan hari jadi Erra yang jatuh pada 9 Februari lalu.

Dalam konsert lebih dua jam itu, Awie dan Erra menghiburkan lebih 6,000 peminat yang membanjiri stadium. Mereka juga mempersembahkan lagu duet baharu, Cinta Makrifat.

Berita Harian X