Ahad, 16 Februari 2020 | 4:03pm
BEKAS pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman dijangka dibenarkan pulang, beberapa hari lagi.
BEKAS pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman dijangka dibenarkan pulang, beberapa hari lagi.

'Doakan Bob lekas sembuh'

KUALA LUMPUR: Menyusut 18 kilogram sejak keluar masuk hospital, Bob Lokman dilaporkan semakin stabil dan mungkin dibenarkan pulang dalam tempoh beberapa hari lagi.

Bekas pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik berusia 56 tahun itu masih dirawat di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sungai Buloh, bagi membiasakan tubuh bertindak balas dengan ubat.

Isteri Bob, Relawati Daud, 49, berkata, suaminya yang dimasukkan ke hospital akibat masalah air berlebihan dalam badan, semakin stabil.

“Mungkin esok atau lusa, suami dibenarkan pulang berikutan keadaannya yang semakin baik dan stabil.

“Doktor menahan suami di wad agar tubuhnya bertindak balas secara baik dengan ubat. Buat masa ini, suami diberi ubat cecair dan air sudah banyak berkurangan.

“Sebelum ini, berat badan suami 135 kilogram, semalam, bacaan beratnya berkurangan kepada 117 kilogram,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dimasukkan ke hospital sama pada 19 Januari lalu akibat masalah air berlebihan dalam badan dan alahan ubat pada kaki. Namun, pada 4 Februari lalu, Bob dibenarkan pulang.

Dua hari kemudian, Bob mengadu sesak nafas dan terpaksa dimasukkan ke hospital sama, sehingga kini.

Relawati berkata, suaminya terpaksa melupakan hasrat berdakwah buat sementara waktu.

“Kami terpaksa membatalkan semua kuliah dalam bulan ini. Tempatnya sudah diganti dengan orang lain. Kalau mahu diikutkan, suami perlu berehat sementara waktu.

“Suami perlukan masa untuk membiasakan diri berjalan dan memakan ubat. Biarlah dia betul-betul sihat sebelum dia kembali meneruskan kuliah.

“Doa-doakanlah dia lekas sembuh,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X