Jumaat, 14 Februari 2020 | 11:00am
Penyanyi, Adira Suhaimi sekali lagi bekerjasama dengan Ikhwan Fatanna menerusi single terbaharu, Maaf. NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Tak kisah digelar Ratu Soundtrack

Selepas sedekad berada dalam industri muzik, penyanyi yang tidak sunyi dengan kontroversi rumah tangga, Adira Suhaimi sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi hingga diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’.

Tidak kisah dengan jolokan diberikan, naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan itu hanya mahu kekal relevan di kelompok penyanyi baharu.

Adira menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dinyanyikan dimainkan setiap hari di kaca televisyen. Ini sekali gus, dapat mempopularkan lagu dinyanyikan.

“Ia umpama promosi secara percuma apabila lagu dijadikan runut bunyi. Tentunya ke udara di kaca televisyen setiap hari.

“Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di kaca televisyen memerlukan kos yang tinggi. Jadi saya tidak kisah, hari-hari dimainkan mudah melekat di jiwa penonton,” katanya kepada BH Online.

Terbaharu, penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu sekali lagi mendapat kepercayaan Nova Music untuk mendendangkan lagu runut bunyi berjudul Maaf bagi drama bersiri, Maaf Tak Indah yang menghiasi slot Samarinda di TV3 sejak 12 Februari lalu.

Sekali lagi, Adira berpeluang bekerjasama dengan Ikhwan Fatanna selaku komposer lagu berkenaan.

Ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 3, Asan, 2, dan Anggun, 6 bulan itu berkata dia seronok dapat bekerjasama dengan Ikhwan.

Katanya, dia melihat Ikhwan sebagai komposer baharu yang berbakat besar.

“Ini kali ketiga saya bekerja dengan Ikhwan selepas Pujaan Hati dan Takdir Tercipta duet dengan Hafiz Suip. dan Pujaan Hati. Karya ciptaannya segar dan mengikut arus muzik semasa.

“Saya menggemari lagu Maaf kerana kekuatannya terletak kepada lirik dan lagu yang berkaitan dengan jalan cerita dalam novel. Terus terang, saya tidak akan menolak jika diberi peluang untuk menyanyikan lagu runut bunyi lagi.

“Saya hanya mahu nama kekal relevan dalam industri muzik, apatah lagi dengan kehadiran ramai penyanyi 'Budak Baru Nak Up' (BBNU),” ujarnya.

Lagu Maaf adalah single solo kedua Adira bersama Nova Music selepas Pujaan Hati yang menjadi lagu runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda lakonan Remy Ishak dan Mira Filzah.

Video lirik single Pujaan Hati yang ditulis Ikhwan bersama Ayden Ali sudah meraih lebih 8 juta tontonan di saluran YouTube, malah dipilih antara lagu paling popular sepanjang tahun lalu.

Lagu duet Adira bersama Hafiz menerusi lagu Takdir Tercipta dipilih sebagai lagu runut bunyi drama Lelakimu Yang Dulu lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose.

Berita Harian X