Selasa, 4 Februari 2020 | 6:00pm
Pelakon, Farah Nabilah hanya menerima tawaran berlakon telefilem buat masa ini. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Pelakon, Farah Nabilah hanya menerima tawaran berlakon telefilem buat masa ini. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Pengorbanan Farah Nabilah

KUALA LUMPUR: Pelakon yang menempa populariti menerusi drama Titian Cinta, Farah Nabilah, 28, terpaksa mengorbankan kerjaya lakonan demi memberikan perhatian pada fasa perkahwinan yang baru dikecapi.

Farah mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohammed Amirul Yunus, 29, pada Disember lalu menerima tawaran berlakon telefilem yang hanya mengambil masa selama seminggu.

Pemegang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu berkata, keputusan dibuat selepas memikirkan tanggungjawab sebagai isteri dan rumah tangga.

“Buat masa ini, saya perlu mempertimbangkan tawaran berlakon drama bersiri yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya.

“Tidak mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga sekiranya saya sibuk bekerja. Dalam soal ini, saya harus memilih perkahwinan atau kerjaya.

“Saya pilih mengorbankan perasaan dan minat demi tuntutan seorang isteri. Saya juga mahu fasa awal perkahwinan dipersia-siakan,” katanya kepada BH Online.

Farah atau nama sebenarnya, Farah Nabilah Saipuddin berkata, dia percaya pasangan suami isteri yang berada dalam posisinya akan melakukan perkara sama.

“Saya mahu masa bersama suami menjadi keutamaan. Kerjaya suami sebagai juruterbang pula menuntutnya kerja tidak tentu masa dan berada di luar negara.

“Jika sentiasa sibuk, kami tidak mampu menikmati alam rumah tangga seperti pasangan suami isteri lain,” katanya.

Mengulas pertanyaan adakah sudah berbadan dua, Farah berkata, dia belum ada berita baik yang boleh dikongsi.

“Belum ada rezeki lagi. Saya dan suami hanya mengikut ketentuan yang ditakdirkan.

“Saya sendiri tak sabar mahu menimang cahaya mata apabila melihat anak kecil. Namun, cepat atau lambat, segala-galanya perancangan Allah SWT,” katanya yang baru saja menyelesaikan penggambaran telefilem Hantu Ustazah Supiah.

Berita Harian X