Sabtu, 1 Februari 2020 | 1:00pm
Jadi rebutan penerbit selepas drama Kampong People, Riena berharap tuah lebih menyebelahinya sepanjang 2020. Foto/NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman
Jadi rebutan penerbit selepas drama Kampong People, Riena berharap tuah lebih menyebelahinya sepanjang 2020. Foto/NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Tuah watak gedik

KUALA LUMPUR: Selepas satu persatu watak dilakonkan menjadi, Riena Diana, 22, mampu tersenyum lebar apabila usahanya mula mendapat maklum balas positif.

Kongsi gadis kecil molek yang mesra dengan panggilan Riena ini, dia bersyukur selepas dua tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, rezekinya semakin dimurahkan Tuhan.

“Saya optimis melihat perkembangan kerjaya. Boleh dikatakan, 2019 adalah tahun saya bertungkus lumus. Tahun ini, mungkin jadi detik untuk saya menyerlah.

“Jujurnya, pada tahun lalu, saya ambil apa sahaja tawaran dihulurkan. Ketika itu, saya tidak kisah soal bayaran asalkan kehadiran saya dalam bidang lakonan disedari. Saya juga tidak mahu dilihat sebagai artis baharu yang sudah pandai ‘demand’.

“Jadi, apabila ada tawaran, saya dan pihak produksi berbincang mengenai bayaran agar saya dapat berlakon dalam projek mereka. Saya pula tidak kisah diberi watak kecil sekali pun kerana masih baharu. Saya tidak mahu ‘demand’ berkenaan watak atau bayaran,” katanya kepada BH Online.

Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal mencuri tumpuan apabila menjayakan watak Dr Qadeeja dalam drama rantaian popular, Nur. Lebih menggembirakan, drama Kampung People yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3, baru-baru ini, memberi impak yang baik.

Dia terkejut apabila wataknya lakonannya, Laila, menjadi sebutan ramai.

“Dahulu, ketika drama Nur sedang hangat, orang memanggil saya Dr Qadeeja. Sekarang, orang memanggil saya Lailer pula, mengikut gaya percakapan saya dalam drama berkenaan.

“Lebih daripada itu, saya juga terkejut apabila bukan perempuan yang menegur, sebaliknya lelaki. Ia bermakna mereka menonton dan sukakan watak Laila. Saya sangat gembira melihat watak ini menjadi.

“Sebelum ini, saya sering menerima watak baik-baik, termasuk perempuan dianiaya. Apabila mendapat skrip Kampung People, saya perlu membawakan watak komedi.

“Jadi, saya terus sahaja bertanya kepada pengurus, boleh atau tidak saya bawa watak begitu. Dia yakin saya boleh melakukannya. Jadi, saya ambil peluang itu untuk mencabar diri,” katanya yang ingin dikenali sebagai pelakon versatil.

Selain dirinya, Kampung People dibintangi oleh Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Namron, Datuk Fizz Fairuz, Hun Haqeem dan Razak Ahmad.

Riena berkata, dia tidak menyangka drama arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin itu menerima komen baik daripada penonton, biarpun perwatakan Laila pada awalnya disangka bakal mengundang cemuhan.

“Sehingga hari ini, saya belum mendapat komen negatif berkaitan watak terbabit. Biarpun Laila ‘gedik’, penonton suka kerana mereka kata saya kelihatan bersahaja.

“Memang kami tak sangka Kampung People ‘trending’ setiap kali ia disiarkan. Waktu penggambaran dahulu, kami banyak bergelak ketawa, Ditambah lagi dengan gelagat Elly yang gila-gila.

“Kami memang sangsi apakah ia boleh diterima. Apatah lagi, judulnya Kampung People. Kami bimbang orang ramai tak faham ceritanya, jauh sekali menyangka drama itu akan menjadi sebutan ramai,” katanya.

Riena berterima kasih kepada Elly yang membantu menghidupkan watak Laila. Tanpa bimbingan Elly dan pengarah, mungkin dia tidak dapat menjayakan watak berkenaan dengan baik.

“Bagi saya, Elly adalah ‘star of the show’ sebab dia banyak menarik perhatian orang ramai. Tanpa Elly, tiadalah Laila. Dialah banyak memberi saya idea untuk menjayakan watak terbabit.

“Di lokasi, dari pagi sampai malam, kami gelak sahaja. Bukan sekadar pelakon yang berperangai gila-gila, kru dan pengarah pun sama. Apabila kami berlakon, mereka yang di belakang pasti ketawa.

“Jadi, 70 peratus dialognya adalah spontan. Kita sendiri tak tahu apa yang mereka lontarkan. Itulah cabaran bagi saya untuk drama ini,” katanya yang menjadikan Sharifah Sakinah dan King Coco sebagai inspirasi bagi menghidupkan watak terbabit.

Berikutan sambutan memberangsangkan diterima juga, Riena mengakui ada kemungkinan Kampung People diterbitkan bagi musim kedua.

Akuinya, dia pernah terlintas untuk menjayakan watak lucu dan karakter Laila menjadi pembuka jalan untuknya berbuat demikian. Selepas Kampung People, tiga produksi lain turut menawarkan dirinya watak sama.

Berita Harian X