Jumaat, 31 Januari 2020 | 1:00pm
Penyanyi, Nora Ariffin sentiasa bersikap terbuka, biarpun bukan sedikit kesedihan yang dilalui. NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Penyanyi, Nora Ariffin sentiasa bersikap terbuka, biarpun bukan sedikit kesedihan yang dilalui. NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Nora buka hati untuk berteman

PETALING JAYA: Penyanyi, Nora Ariffin, 46, tidak pernah menutup pintu hati menerima teman hidup baharu. Bagaimanapun, dia tidak mencari, sebaliknya berserah kepada Yang Maha Esa.

“Saya berserah pada Allah, segala-galanya atas izin-Nya. Lagipun, sudah hampir tiga tahun arwah suami, Johan Nawawi meninggalkan saya dan anak-anak.

“Saya percaya jika selalu berdoa memohon benda baik, maka perkara baik yang datang. Jadi, kalau Allah bagi benda baik, saya terima dengan hati yang terbuka,” katanya kepada BH Online.

Nora berkata, dia tidak dapat lari daripada insan yang mendekati, tetapi kebanyakannya kawan-kawan.

“Nak kata saya tutup pintu hati tak baik, malah nak kata tak tutup juga tak baik.

“Jadi, apabila sampai masa, saya pasti berkongsi. Jika saya mahu mencari lelaki sebaik arwah, mustahil saya boleh berjumpa.

“Setiap manusia kejadiannya tak sama, tetapi saya tidak terdesak mencari, kalau ada jodoh, adalah... Kalau anak-anak okay, saya terima saja. Anak-anak suka menyakat, saya layan saja,” katanya.

Johan Nawawi meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun. Kemudian, anak keduanya, Alif Johan, 20, menyusul pada 14 Disember lalu.

Berikutan tidak mahu terlalu memikirkan kehilangan besar dalam hidupnya, Nora banyak menghabiskan masa dengan kerja.

“Saya pegang kata-kata Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad, ada kala Tuhan ambil seseorang kerana kita terlalu taksub terhadapnya. Contoh, jika terlalu sayang pada suami, Allah akan ambil suami kita.

“Anak pun sama, malah harta benda sekalipun. Jadi jangan terlalu taksub dan paling penting, jaga hubungan dengan Allah.

“Segala-galanya hanya pinjaman, jadi Allah boleh ambil pada bila-bila masa. Saya mahu bersangka baik dengan takdir hidup yang diatur,” katanya.

Bagi Nora, dia mahu sentiasa bersikap terbuka, biarpun bukan sedikit kesedihan yang dilalui dengan ujian yang diterima.

“Boleh bersedih tetapi jangan terlalu bersedih. Saya perlu meneruskan hidup, anak-anak lain memerlukan saya apabila dua tunggak keluarga sudah tiada. Rindu macam mana pun, saya perlu kuat berdepan dengannya,” katanya.

Turut mengingati pesanan arwah suaminya, Nora sentiasa menanamkan semangat positif dalam diri

“Dia selalu bertanya, kemuncak hidup mahu ke mana? Jika mahu syurga, kita kena jadi orang macam mana? Itulah kata-kata arwah yang sentiasa dikenang,” katanya ketika ditemui pada majlis perlantikan sebagai duta produk kecantikan, Prettian.

Berita Harian X