Jumaat, 31 Januari 2020 | 11:00am
Lari daripada lagu cinta, Haqiem mempertaruhkan muzik genre punk rock dalam single baharu, Bangkit. Foto IG Haqiem Rusli
Lari daripada lagu cinta, Haqiem mempertaruhkan muzik genre punk rock dalam single baharu, Bangkit. Foto IG Haqiem Rusli

Haqiem buat eksperimen dengan Bangkit

KUALA LUMPUR: Mengangkat genre punk rock, penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli mencabar diri keluar dari kepompong dengan produk berbeza melalui single baharu, Bangkit.

Bakal dilancarkan bulan depan, Haqiem berkata, single itu membuktikan dirinya enggan statik, sebaliknya terus berevolusi dalam berkarya.

“Saya cuba membuat pembaharuan dengan menyanyikan lagu genre ‘indie’. Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Saya sebenarnya cuba melakukan eksprerimen.

“Jadi, tidaklah asyik lagu cinta. Saya anggap ini sebahagian daripada proses kematangan diri dalam arena muzik,” katanya kepada BH Online.

Haqiem yang merangkul dua trofi kategori online, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 iaitu Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom berkata, Bangkit dirakamkan, Mei lalu.

“Saya baru menyiapkan video muzik Bangkit yang saya anggap hadiah buat peminat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu itu, Haqiem berkata, Bangkit menyelit sedikit kisah hidupnya.

“Lagu ini memberi semangat kepada insan yang cepat mengalah dan berputus asa. Sedikit sebanyak, lagu ini adalah coretan kisah hidup saya,” katanya.

Haqiem berkata, kejayaan diraih memberi semangat kepadanya untuk terus berkarya.

“Barangkali kejayaan ini dapat memberi suntikan kepada anak muda lain untuk terus berusaha.

“Saya percaya ramai orang tahu jatuh bangun saya dalam industri muzik. Bukan jalan yang mudah, namun, berkat kesabaran dan tidak kenal putus asa, saya sampai ke tahap ini.

“Saya harap artis baharu yang ingin mencuba nasib usah berputus asa. Apa yang penting berusaha sehingga mendapat hasil terbaik,” katanya.

Berita Harian X