Ahad, 26 Januari 2020 | 9:05pm
Tahap kesihatan penulis lirik Isabella, Bob Lokman semakin baik, cuma masih dalam pemantauan doktor. NSTP/Aswadi Alias
Tahap kesihatan penulis lirik Isabella, Bob Lokman semakin baik, cuma masih dalam pemantauan doktor. NSTP/Aswadi Alias

Bob Lokman stabil

KUALA LUMPUR: Keadaan bekas pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, 57, semakin stabil tetapi masih di bawah pengawasan doktor.

Bob dikejarkan ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UITM), Sungai Buluh selepas rebah ketika menyertai siri jelajah kuliah agama di Kelantan dan Terengganu pada 19 Januari lalu.

“Awalnya, keadaan suami agak serius, kedua-dua kaki bengkak akibat masalah buah pinggang. Jantungnya lemah dan tidak boleh berjalan kerana cepat penat.

“Betis dan kaki membengkak hingga menyukarkannya bergerak ketika dimasukkan ke wad kira-kira lapan hari lalu. Kini, Alhamdulillah, bengkak pada kakinya semakin surut.

“Hari ini, doktor berhenti memberi ubat cecair untuk melihat fungsi ubat sebelum ini. Sekiranya sudah stabil, suami boleh pulang,” kata isterinya, Relawati Daud kepada BH Online.

Relawati berkata, suaminya masih ditahan di hospital selama beberapa hari lagi berikutan doktor mahu membuang air dalam badannya.

“Suami agak bertenaga selepas lima kilogram (kg) air dibuang. Dia hanya boleh minum air sebanyak 500 milimeter sehari, akibat beberapa komplikasi penyakit.

“Dia juga bergantung pada ubat untuk melawaskan pembuangan air kecil,” katanya.

Katanya, suaminya rebah ketika menyertai kuliah di Pantai Timur berikutan ubat yang dimakan tidak berfungsi menyebabkan pembuangan air kecil tidak lawas.

“Suami hanya makan ubat sebiji pil sehari. Bagaimanapun, dos terpaksa ditambah apabila sakit, tetapi pembuangan air kencing tetap tidak lawas.

“Sebab itulah kakinya bengkak dan pernafasan turut terganggu. Air berlebihan dalam badan juga menyebabkan gangguan hingga melemahkan pergerakan serta pernafasan,” katanya.

Terdahulu, Bob pernah dimasukkan ke Hospital Universiti Teknologi Mara pada 2015. Kali terakhir, beliau dikejarkan ke hospital akibat masalah jantung pada 2018.

Berita Harian X