Khamis, 23 Januari 2020 | 8:32pm
Tahap kesihatan Bob Lokman serius akibat masalah buah pinggang. Foto Ihsan FB Besut Berkat Sejahtera
Tahap kesihatan Bob Lokman serius akibat masalah buah pinggang. Foto Ihsan FB Besut Berkat Sejahtera

Bob rebah ketika kuliah agama

KUALA LUMPUR: Bekas pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, 57, dirawat di Hospital Universiti Teknologi Mara (UITM) di Sungai Buluh, di sini, akibat beberapa komplikasi penyakit.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dikejarkan ke hospital selepas rebah dan berada dalam kondisi lemah ketika menyertai siri jelajah kuliah agama di Terengganu, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, rakan-rakan dari pejabat Menteri Besar Terengganu menghantar Bob mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 19 Januari lalu.

“Keadaan Bob sangat serius. Kedua-dua kaki membengkak akibat masalah buah pinggang.

“Dia kerap mengerang kesakitan berikutan turut mengalami komplikasi paru-paru dan jantung,” kata Dr Riduan menerusi status yang dimuat naik dalam laman Facebook.

Terdahulu, Bob pernah dimasukkan ke hospital yang sama pada 2015. Kali terakhir, penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama itu dikejarkan ke hospital akibat masalah jantung pada 2018.

“Pendapatan Bob terjejas berikutan masalah kesihatan. Isterinya, Relawati Daud pula tidak bekerja.

“Saya memohon orang ramai dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan ditanggung keluarga pelawak itu.

“Saya merayu memandangkan Bob mempunyai ramai tanggungan,” katanya.

Hasil perkongsian hidup Bob dan Relawati, mereka dikurniakan lapan cahaya mata. Bagaimanapun, anak sulung, Mohamad Adam meninggal dunia, dua tahun lalu.

Selain Adam, anak-anak Bob lain ialah Omar Hakim, 26, Ahmad Sufian, 25, Ahmad Rayyan, 14, Nur Amanee, 12, Luqmanulhakim, 11, Muhammad Danial, 8, dan Nur Amalin, 6.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X