Ahad, 19 Januari 2020 | 8:54am
Penyanyi, Datuk Hattan, bersama anak lelakinya, Adam E. - Foto ihsan Rusa Music
Penyanyi, Datuk Hattan, bersama anak lelakinya, Adam E. - Foto ihsan Rusa Music

Hattan, anak berkolaborasi dalam lagu Budak Kampung

KUALA LUMPUR: Anak tunggal lelaki Datuk Hattan, Adam E, 21, tidak pernah terfikir mengikut jejak langkah bapanya bergelar penyanyi.

Bagaimanapun, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

Lagu berjudul Budak Kampung membuktikan kesungguhan Adam atau nama sebenarnya Adam Eiman Mohd Sukri untuk berkongsi bakat yang dimiliki.

Lagu ciptaan sepenuhnya bakat muda itu dilancarkan di laman YouTube sejak 13 Januari lalu.

“Awalnya, saya bukan mahu mengikut jejak bapa, tetapi tidak mampu untuk mengelaknya. Satu fakta yang tak boleh diubah, bapa terlebih dahulu menjadi penyanyi.

“Saya mula berjinak-jinak dalam dunia muzik selepas tamat persekolahan. Saya menerima tunjuk ajar daripada sepupu yang juga penyanyi hip hop, Senna, yang faham mengenai dunia muzik.

“Akhirnya, perlahan-lahan minat mendalami muzik hadir dalam jiwa. Bagaimanapun, pada asalnya, saya lebih cenderung ke arah kerja produksi muzik, bukan nyanyian,” katanya kepada BH Online.

Adam berkata, dia mencabar diri menyertai dunia nyanyian selepas terbabit dengan kerja produksi muzik.

“Tak salah saya mencabar diri. Saya beruntung kerana lagu Budak Kampung turut dibantu oleh Freddie Laut yang juga seorang penerbit,” katanya yang pernah muncul dengan lagu berbahasa Inggeris, Castle, di platform digital.

Katanya, dia mahu memadamkan jurang perbezaan antara golongan urban dan kampung menerusi lagu Budak Kampung.

“Saya sering melihat orang meletakkan pelbagai label bagi membezakan orang kampung dan bandar. Bagi saya, tiada bezanya kerana kita mempunyai cita rasa tersendiri.

“Sesuatu yang kita dengar sedap, mungkin orang lain rasa sebaliknya. Demikian juga terjemahan saya menerusi lagu Budak Kampung ini,” katanya.

Adam berkata, dia turut berkolaborasi dengan bapanya menerusi lagu terbabit.

“Saya bukan hanya menyanyi rap, malah berkolaborasi dengan ayah. Ayah yang nak turut serta dalam projek ini, jadi saya okey sahaja.

“Beliau juga banyak menasihatkan saya agar menjadi diri sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan cara orang lain,” katanya.

Adam yang masih menuntut di sebuah kolej dalam bidang Perhubungan Awam dan Acara juga enggan dirinya dilabelkan sebagai penyanyi rap.

“Saya selesa menyanyi lagu pelbagai genre dan tidak mahu terbatas pada irama hip hop atau rap sahaja. Bagaimanapun, saya suka hip hop dan itulah jiwa saya sebenarnya.

“Sehingga kini, saya memiliki lebih lapan lagu dalam simpanan. Sebelum ini, saya pernah menerbitkan lagu Nakal dendangan Zynakal dan Dap Dap Dap (Siti Sarah),” katanya.

Berita Harian X