Khamis, 9 Januari 2020 | 11:30am
Pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham. - NSTP/Aziah Azmee

Issey seronok jadi 'bapa segera'

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua minggu bergelar suami, personaliti radio dan pelawak, Issey Fazlisham, 32, akui seronok menjalankan tugas sebagai ‘bapa segera’.

Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin turut berharap dia mampu memikul tugas menjaga tiga anak tirinya yang berusia antara empat hingga lapan tahun dengan baik.

“Jujurnya, saya seronok apabila berpengalaman menghantar anak ke sekolah. Begitupun, saya akui masih dalam proses pembelajaran. Maklum sahaja, ia perubahan drastik untuk saya yang melangkau beberapa langkah untuk bergelar bapa.

“Saya sudah cuba rapat dengan mereka sejak belum berkahwin. Agak susah sebenarnya masing-masing mahu menerima kehadiran saya kerana bapa mereka meninggal dunia akibat kemalangan. Jadi, mungkin mereka masih dalam proses mahu menerima. Alhamdulillah, setakat ini baik-baik sahaja,” katanya kepada BH Online.

Issey menamatkan zaman duda pada 22 Disember lalu dengan pengurus sumber manusia, Noor Aimi Mohamed Jamil, yang juga rakan sekolahnya.

Dia juga memberitahu tidak kisah berulang-alik pada setiap minggu untuk bersama keluarga di Kota Bharu, Kelantan.

“Isteri saya akan turun ke ibu kota dua minggu sekali dan setiap hujung minggu pula, saya akan balik ke sana. Ia memang agak memenatkan, tetapi kita tengoklah dahulu bagaimana keadaannya.

“Kalau isteri tidak menetap di Kelantan, mungkin agak susah untuk saya balik kerana mak sudah tiada. Jadi apabila ada isteri di sana, saya ada alasan kukuh untuk pulang,” katanya.

Issey (kanan) bersama teman penyampai Team Pagi Suria, Ajak (tengah) dan Fizi. - NSTP/Rohanis Shukri

Dalam perkembangan lain, Issey teruja berkongsi cerita dirinya bergelar penerbit sejak tahun lalu.

Menerusi syarikat Red Bean Production yang ditubuhkan bersama rakannya, mereka menerbitkan dua telefilem masing-masing berjudul Dia Abahku dan Bangkit.

“Perancangan ke arah itu sebenarnya dilakukan sejak 2018 lagi. Tahun lalu, saya belajar selok-belok dunia penerbitan dan bagi membuka tirai 2020, kami baru selesai merakamkan dua telefilem. Dia Abahku diarahkan oleh Sabri Yunus, manakala Bangkit adalah karya arahan saya sendiri.

“Saya memang meminati dunia penerbitan, apatah lagi saya pernah mengikuti pengajian dalam bidang berkenaan. Alhamdulillah, impian saya menjadi kenyataan,” katanya.

Berita Harian X