Selasa, 7 Januari 2020 | 6:20pm
Zul mendakwa karier tidak terjejas selepas tercetusnya kontroversi video panas membabitkan individu yang dikatakan mirip dirinya, baru-baru ini. Foto NSTP/Rohanis Shukri

'Kontroversi video panas tiada kesan'

BANTING: Aktor sasa, Zul Ariffin yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi gara-gara penyebaran video panas membabitkan individu mirip dirinya, mendakwa tidak terkesan dengan insiden berkenaan.

Zul, 34, berkata, kejadian itu tidak memberi impak kepada dirinya kerana dia hanya pelakon, bukan selebriti.

“Kalau seseorang menganggap dirinya selebriti, ia mungkin memberi kesan kerana membabitkan imej.

“Saya lebih menjaga kualiti lakonan di lokasi penggambaran. Sebagai seorang pelakon, hanya ini yang saya tahu, selebihnya adalah kehidupan peribadi.

“Saya tidak boleh menghentikan orang nak buat macam-macam. Hanya merisaukan saya adalah perkara memberikan impak buruk kepada kerjaya,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, tersebar video berdurasi 45 saat yang antara lain memaparkan individu mirip pelakon Sangkar itu sedang berbaring dan melakukan aksi tidak senonoh.

Sebelum ini, Zul mendakwa dia menjadi mangsa teknik ‘deepfake’ iaitu mencari visual lain bagi menggantikan wajah yang dipaparkan dalam video.

Zul yang ditemui di lokasi penggambaran filem Talbis Iblis di Hatter’s Castle di Pulau Carey, di sini, enggan mengulas lanjut mengenai insiden video panas itu.

“Saya tiada komen untuk hal berkaitan dengan video. Tiada sebab saya marah walaupun sering menjadi mangsa teknologi. Mereka boleh melakukan apa saja yang dimahukan.

“Untuk saya, ia tidak memberi kesan. Saya masih lagi bekerja seperti biasa,” katanya.

Zul berkata, dia sudah melalui pelbagai kontroversi sepanjang bergelar anak seni.

“Setiap orang ada kisah masing-masing. Disebabkan itulah saya tidak pernah memberi komen terhadap pelakon lain. Ini kerana tidak tahu, masa saya akan tiba.

“Kalau bukan saya menjadi mangsa, pasti ada artis lain,” katanya.

Berita Harian X