Isnin, 6 Januari 2020 | 11:02am
TEMPIAS populariti drama Kampung People bantu perkenal bakat Hun Haqeem. - Foto Mahzir Mat Isa
TEMPIAS populariti drama Kampung People bantu perkenal bakat Hun Haqeem. - Foto Mahzir Mat Isa

Kampung People lonjak bakat Hun Haqeem

KUALA LUMPUR: Lebih setahun mempertaruhkan bakat, populariti drama Kampung People turut memberi tempias kepada pelakon baharu, Hun Haqeem, apabila kehadirannya mula disedari ramai.

Dia yang membawakan watak Jaafar atau Jekfer mengakui, drama arahan Wan Hasliza yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3 itu membantu mengubah perjalanan kerjaya seninya.

“Untuk saya yang masih mencari tapak dalam industri hiburan, penerimaan khalayak terhadap drama itu secara tidak langsung membuka mata ramai terhadap bakat saya.

“Suntikan elemen komedi dan santai membuatkan ramai yang terhibur, apatah lagi Kampung People menyajikan pengisian berbeza, berbanding kebanyakan drama sedia ada.

“Secara jujur, saya tidak pernah menyangka watak Jaafar akan memberikan impak yang tersendiri. Saya anggap semua ini sebagai rezeki dan berterima kasih kepada tenaga produksi, terutama pengarah yang banyak memberikan tunjuk ajar,” katanya.

Jejaka yang berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata, Kampung People juga adalah percubaan pertamanya beraksi dalam produksi genre komedi.

“Apabila lakonan diterima penonton, saya anggap ia sebagai pencapaian kerana saya tidak pandai berlawak. Tanpa bantuan pengarah, tidak mungkin saya dapat membawakan watak itu dengan baik,” katanya.

Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy, berkata peluang yang sedia terbentang itu membuatkan dia semakin teruja meneroka dunia lakonan dengan lebih berani.

“Biarpun drama itu mendapat pujian ramai, ia bukan alasan untuk saya mendabik dada. Ia sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk saya terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Selain Hun, Kampung People turut dibintangi Elly Mazlein, Riena Diana, Rashidi Ishak, Kamarul Eqif dan Datuk Fizz Fairuz.

Berita Harian X