Ahad, 5 Januari 2020 | 8:10pm
RIENA mengakui drama Kampung People memberi impak besar dalam melonjakkan perjalanan kerjaya lakonannya. - Foto IG Riena Diana
RIENA mengakui drama Kampung People memberi impak besar dalam melonjakkan perjalanan kerjaya lakonannya. - Foto IG Riena Diana

Watak 'bimbo' bawa tuah

KUALA LUMPUR: Lebih dua tahun mengatur langkah, pelakon baharu, Riena Diana, mengakui drama Kampung People yang sedang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3 meninggalkan impak besar buat dirinya.

Terlebih dahulu dikenali menerusi watak Dr Qadeeja dalam drama Nur musim pertama, Riena atau nama sebenarnya Nur Qamariena Diana Zulreal, berkata kemunculannya dalam Kampung People mengubah persepsi umum terhadap bakatnya.

“Ramai tidak sangka saya boleh membawakan watak komedi, malah saya menerima pelbagai maklum balas positif sejak drama itu disiarkan.

“Selama ini, ramai ingat saya hanya mampu membawa watak baik atau menjadi mangsa keadaan, namun karakter Laila yang ‘bimbo’ membuktikan saya boleh mempelbagaikan lakonan.

“Secara peribadi, saya memang terkejut dengan reaksi penonton. Ingatkan penonton benci, tidak sangka pula ramai yang suka. Lebih membuatkan saya teruja, drama ini menjadi trending setiap kali bersiaran,” katanya.

Bakat yang dicungkil menerusi pertandingan Drama Festival Kuala Lumpur 2017 itu berkata, dia menjadikan Sharifah Sakinah dan personaliti media sosial, King Coco sebagai rujukan bagi menghidupkan watak Laila.

“Pengarah memberikan cadangan supaya saya mengamati cara mereka bercakap, terutama ketika bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Namun, untuk mencipta kelainan dan tidak mahu terlalu terikut-ikut dengan gaya mereka, saya cuba bereksperimen dengan menambah huruf ‘S’ pada setiap hujung perkataan. Alhamdulillah, ramai yang suka dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Riena berkata, sejak drama itu popular, dia banyak menerima tawaran untuk membawakan watak komedi.

Kampung People arahan Wan Hasliza turut dibintangi Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Hun Haqeem dan Datuk Fizz Fairuz.

Riena yang aktif berlakon sejak 2017 mula diperkenalkan menerusi drama, Villa Qhazara. Dia seterusnya mendapat kepercayaan untuk membawa watak utama menerusi drama Cinta Lemon Madu yang disiarkan portal Tonton.

Berita Harian X