Sabtu, 4 Januari 2020 | 11:08am
Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

'Allah uji supaya kita dapat sesuatu lebih baik'

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, enggan lagi mengenang kontroversi pernah melanda diri apabila lagu popularnya, Sumpah, dikatakan sebagai hasil ciptaan bersama bekas kekasih.

Dia percaya, ada hikmah tersembunyi di sebalik segala perkara berlaku dan ia hadir bagaikan magis.

Bersama lagu ciptaannya bersama Omar K itu, Naim melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 yang bakal berlangsung pada Februari ini.

“Menyentuh soal kontroversi terbabit, saya percaya Allah menguji hamba-Nya dengan sesuatu bagi membolehkan kita mendapat yang lebih baik.

“Isu berkaitan perkara itu pun sudah selesai dan ia tidak perlu lagi diungkit. Saya juga tidak menganggap kontroversi berkenaan disengajakan kerana ia hanya muncul selepas tiga bulan Sumpah diedarkan,” katanya.

Naim, 22, berkata Sumpah adalah karya yang memberikan makna cukup besar terhadap diri dan kerjaya seninya.

“Sepanjang kerjaya nyanyian saya, lagu ini memberikan impak tersendiri. Sumpah memang naskhah yang sangat bersifat peribadi. Ia seperti cinta pertama saya. Ia juga tidak ubah seperti simbolik transisi saya daripada lakonan ke dunia nyanyian.

“Melayakkan diri untuk sama-sama bersaing di pentas AJL34 pula menjadi penghormatan besar buat saya yang masih ‘kerdil’ di dunia muzik. Semuanya bagai disusun cantik dan saya amat bersyukur,” katanya.

Naim Daniel mempertaruhkan lagu ciptaannya bersama Omar K, Sumpah, pada AJL34. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Naim Daniel mempertaruhkan lagu ciptaannya bersama Omar K, Sumpah, pada AJL34. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Mengenai persiapan menghadapi pertandingan berprestij berkenaan, Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin mengakui sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.

“Seminggu selepas ia diumumkan layak ke AJL34, saya dan pasukan kerja World Peace Entertainment mula memikirkan soal konsep persembahan. Pasti ada penggunaan ‘prop’ dan sebagainya.

“Saya juga pastinya mahu bermain dengan jiwa penonton menerusi persembahan bakal diadakan nanti. Selebihnya, kita sama-sama tunggu malam kemuncaknya, tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X