Khamis, 2 Januari 2020 | 9:00am
ARDELL dan suami bersyukur diberi peluang menyertai misi kemanusiaan ke Syria. - Foto IG Nadzmi Adhwa
ARDELL dan suami bersyukur diberi peluang menyertai misi kemanusiaan ke Syria. - Foto IG Nadzmi Adhwa

Hamil tak halang Ardell Aryana sertai misi kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Biarpun sedang hamil empat bulan, pelakon Ardell Aryana, tidak mahu terlalu memanjakan diri, sebaliknya bersedia menggalas cabaran menyertai misi kemanusiaan ke Syria.

Ardell yang terlebih dahulu bercuti di Istanbul, Turki sebelum menyertai misi itu berkata, dia bersama suaminya, Nadzmi Adhwa akan berada di sana selama 20 hari di bawah Yayasan Tabung Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), bermula 8 Januari ini.

“Ia bukan misi kemanusiaan pertama saya sertai kerana sebelum ini pernah ke Palu, Indonesia membantu mangsa gempa bumi di sana.

“Cuma, saya tidak terlalu menggembar-gemburkan perkara itu kerana bimbang dikatakan menunjuk-nunjuk. Tidak hanya di luar, saya juga aktif turun padang menyertai misi amal di dalam negara,” katanya.

Pelakon filem Dorm Melati dan XX Ray 3 itu berkata, menyertai misi kemanusiaan membuka matanya terhadap realiti kehidupan, sekali gus menyedarkan dirinya, setiap manusia tidak terlepas daripada diuji.

“Saya pernah bertarung melawan sakit selama dua tahun. Ketika itu, saya mula sedar, menangis dan meratap hanya membuat saya menjadi semakin lemah serta tidak berdaya.

“Jadi, saya bangkit melawan perasaan itu dengan menyertai misi kemanusiaan di Palu. Di sana, saya seronok dapat membantu mereka yang memerlukan, malah bebanan mengangkat kampit beras tidak terasa kerana saya terlalu teruja.

“Saya ajar diri supaya tidak terus dihanyutkan kesedihan. Pengalaman itu menjadikan saya lebih positif dan tidak mudah berputus asa ketika menempuh ujian,” katanya.

Ardell berkata, pengalaman di sana juga menyedarkan dirinya dugaan yang dilaluinya itu terlalu kecil, berbanding kedukaan dan kesengsaraan insan lain.

“Apalah sangat ujian yang saya lalui, sedangkan di luar sana, ada yang saban hari terpaksa bertarung nyawa meneruskan hidup. Itu yang membuatkan saya menjadi lebih kuat dan berani menempuh dugaan hidup,” katanya.

Berita Harian X