Isnin, 30 Disember 2019 | 9:01am
SHAHRULEZAD menyifatkan Azhan sebagai pelakon berbakat besar yang kental sifat merendah diri. - Foto IG Shahrulezad Mohameddin
SHAHRULEZAD menyifatkan Azhan sebagai pelakon berbakat besar yang kental sifat merendah diri. - Foto IG Shahrulezad Mohameddin

'Azhan takut bawa trofi balik rumah'

KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin, menyifatkan Azhan Rani sebagai antara pelakon yang berbakat besar, tetapi masih kental dengan sifat merendah diri.

Meskipun meraih pelbagai pencapaian yang mengiktiraf bakatnya, pemilik syarikat produksi Radius One itu berkata, ia tidak pernah membuatkan pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 itu mendabik dada.

“Dia sebaliknya, meminta saya bawa pulang dan simpan semua trofi yang dimenanginya di pejabat. Azhan tidak pernah bawa pulang trofi ke rumah kerana takut ada perasaan riak dan bangga.

“Setiap kali masuk pejabat dan melihat trofi yang dimenanginya, saya pasti tersenyum sendirian. Saya teringat gelagatnya memaksa saya membawa pulang trofi kerana takut ia membuatkan dia lupa diri.

“Saya bangga dengan pencapaiannya, malah berdoa Tuhan membukakan peluang untuk kami terus bekerjasama. Ia bukan disebabkan bakatnya semata-mata, sebaliknya saya kagum dengan nilai kemanusiaan yang begitu tinggi dalam dirinya,” kata Shahrulezad.

Secara peribadi, Shahrulezad menyifatkan Azhan sebagai pelakon yang sentiasa bersederhana dan paling tidak suka dipuji.

“Dia kekok apabila dipuji. Azhan juga sentiasa membuatkan kita selesa kerana dia memiliki personaliti yang menyenangkan.

“Dia tidak pandai berpura-pura dan setiap kali melepak, ada sahaja gelagatnya yang menceriakan suasana. Kalau dia tiada di set penggambaran, pasti semua akan mencari.

“Saya akui, rindu untuk kembali bekerjasama dengannya. Dia juga sentiasa meletakkan kedudukan ibunya pada tempat yang tinggi dalam kehidupannya,” luah Shahrulezad menerusi catatan di Instagram, baru-baru ini.

Berita Harian X