Selasa, 24 Disember 2019 | 7:09pm
Menyambut 2020, Zara mahu memberi tumpuan kepada karier seni dan perniagaan, bukannya soal cinta. Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

'Bercinta? Biarlah dahulu...'

KUALA LUMPUR: Hangat dengan kisah putus tunang, Zara Zya mahu lebih berhati-hati apabila berkawan.

Sehubungan itu, menyambut tahun baharu, Zara mahu mengambil iktibar daripada kisah putus cinta dengan bekas tunang, Hafreez Adam.

“Memanglah, kalau dilihat daripada suatu sudut, nama saya jadi bualan ramai meskipun kisah putus tunang bukanlah sesuatu yang dibanggakan.

“Sebagai manusia, kita mesti selalu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku agar kejadian sama tidak berulang.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, cuma mahu lebih berhati-hati apabila berkawan. Kita tidak tahu niat orang, jadi tidak salah untuk mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada BH Online.

Pada 15 Disember lalu, Hafreez, 29, mengesahkan ikatan pertunangan dengan Zara, 34, terlerai secara baik, bulan lalu.

Zara juga dilaporkan menolak dakwaan konon pertunangan mereka putus disebabkan ‘orang ketiga’.

Ditanya apakah dirinya trauma untuk bercinta lagi terutama sesama artis, Zara berkata:

“Saya tidak trauma untuk bercinta sesama rakan artis... Cuma biarlah dahulu.

“Lagipun, saya baru putus tunang. Azam tahun baharu adalah berfikir lebih positif dan fokus kepada bidang perniagaan.

“Saya cukup hargai keluarga, sahabat rapat dan peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap perjalanan karier seni saya,” katanya.

Enggan mengenang episod duka dalam hidup, Zara bakal memulakan penggambaran drama bersiri untuk Ramadan, tidak lama lagi.

“Saya tidak mahu hanya tertumpu kepada tawaran lakonan. Sebaliknya, saya sentiasa mencari ruang dalam bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, biarpun masih ‘hijau’ untuk berniaga, rezeki itu sentiasa ada,” katanya.

Berita Harian X