Jumaat, 20 Disember 2019 | 8:15pm
Pelakon, Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana ketika majlis perkahwinan mereka di Seri Kembangan. - NSTP/Aziah Azmee

Nadzmi, Ardell bakal timang cahaya mata

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadzmi Adhwa, bakal bergelar bapa apabila Ardell Aryana, disahkan berbadan dua.

Bintang filem Busut Bonang itu bagaimanapun belum bersedia untuk mendedahkan usia kandungan isterinya.

“Saya amat bersyukur apabila Allah memberikan saya dan isteri rezeki untuk menimang cahaya mata. Kami memang menunggu perkhabaran gembira ini selepas disatukan sebagai suami isteri, kira-kira empat bulan lalu.

“Semoga kandungan isteri akan selamat hingga bayi kami dilahirkan,” kata Nadzmi kepada BH Online.

Nadzmi juga berkongsi berita terbabit di laman sosialnya, sebentar tadi, dengan menyertakan sekali gambar mereka berdua, manakala Ardell berbuat demikian dengan memuat naik gambar alat ujian kehamilan di Instagramnya.

Nadzmi berkongsi berita gembira kehamilan isteri di laman sosialnya. - Foto Instagram Nadzmi Adhwa

“Lebih bermakna, bakal bayi kami akan turut serta dalam kunjungan ke Syria.

“Kami akan terbang ke sana pada 8 Januari depan bagi menjayakan misi anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM),” katanya.

Sementara itu, baru-baru ini, Nadzmi turut memberikan sokongan kepada isterinya yang membuka pusat laser bulu bersama bapa saudara, Dr Por Yang Sheng, di Solaris Dutamas.

“Sebagai suami, saya menyokong setiap perkara yang diusahakannya.

“Jika hendak diharapkan pada lakonan semata-mata, rezeki belum tentu menyebelahi diri. Jadi, perniagaan ini sebagai jaminan untuk hari mendatang,” kata Nadzmi.

Pasangan selebriti terbabit mendirikan rumah tangga pada 1 September lalu.

Berita Harian X