Jumaat, 20 Disember 2019 | 1:00pm
HANNA tidak terkilan terpaksa mengambil masa lama untuk memperkenalkan bakatnya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HANNA tidak terkilan terpaksa mengambil masa lama untuk memperkenalkan bakatnya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Biar popular kerana bakat - Hanna Aqeela

KUALA LUMPUR: Biarpun mengambil masa lama untuk memperkenalkan bakatnya, pelakon Hanna Aqeela Mohd Rosni, tidak pernah berputus asa mencari ruang mengukuhkan nama.

Pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia sanggup berusaha keras supaya peminat dapat melihat peningkatan graf perjalanan kerjayanya, berbanding mengecap populariti kerana terpalit isu kontroversi.

Hanna, 29, berkata meskipun bakatnya belum menyerlah selepas lima tahun berlakon, dia bersyukur apabila menerima pelbagai tawaran sehingga tidak berkesempatan untuk berehat.

“Secara jujur, saya lebih suka orang mengingati lakonan saya, berbanding dikaitkan dengan kisah kontroversi. Saya percaya, penonton kini lebih pandai menilai bakat pelakon.

“Saya mahu apabila peminat melihat kemunculan saya di skrin televisyen, mereka akan berkata: ‘Oh! Dia pelakon baharu, tetapi pandai beraksi di depan kamera’. Pengiktirafan penonton umpama pencapaian besar buat diri.

“Apa yang penting, tawaran berlakon tidak putus kerana saya juga ada komitmen yang perlu dilunaskan. Saya akan pastikan akaun bank terisi kerana itu lebih penting berbanding mengejar populariti dengan mencipta kontroversi,” kata bintang Ombak Rindu The Series itu.

Digandingkan dengan nama hebat seperti Remy Ishak, Izara Aishah, Diana Danielle dan Uqasha Senrose dalam drama yang disiarkan menerusi iflix itu, Hanna berkata, pada mulanya, dia berasa sangat kerdil.

Akui Hanna, paling dirisaukan sekiranya mereka menilai bakat lakonannya yang masih terlalu hijau.

“Ketika perjumpaan pertama, pelbagai persoalan bermain di hati. Berdebar, gugup dan takut semuanya bercampur-baur. Melihat mereka rancak berbincang, saya hanya mendiamkan diri.

“Timbul juga perasaan bimbang dalam diri jika mereka menilai lakonan saya. Alhamdulillah, ketika di set penggambaran, Remy dan Izara sangat merendah diri.

“Semua pelakon juga tidak lokek ilmu dan saling membantu. Pengarah, Osman Ali pula seolah-olah sengaja menakutkan saya apabila memberitahu, Remy tidak suka pelakon yang tidak ‘memberi’.

“Syukur, Remy sangat membantu dan jika penghayatan lakonan saya dirasakan kurang sampai, dia akan beritahu,” kata Hanna yang mengakui, beruntung dapat menimba pengalaman berlakon di bawah arahan sutradara hebat seperti Osman.

Sebelum menyertai produksi drama itu, Hanna yang membawa watak antagonis bernama Elin memberitahu, dia terlebih dahulu perlu menjalani uji bakat.

“Pada mulanya, saya sangka watak itu tidak sesukar mana, tetapi selepas membaca skrip, ia sebenarnya sangat mencabar.

“Dengan bimbingan Ellie Suriaty sebagai guru lakonan, saya dapat membawakan watak Elin dengan baik.

“Drama ini juga membuka cabang rezeki lain apabila Osman turut mencadangkan nama saya kepada beberapa penerbit. Itu bermakna, dia berpuas hati dengan lakonan saya,” katanya.

Berita Harian X