Khamis, 19 Disember 2019 | 8:57am
Finalis Gegar Vaganza musim keenam, Sham Visa. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Finalis Gegar Vaganza musim keenam, Sham Visa. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Tak sangka ada manusia iri hati - Sham Visa

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sham Visa, mendedahkan ada pihak tidak senang melihat keakraban beliau dengan kelab peminatnya sehingga sanggup menggodam akaun Instagram (IG) rasmi Shamvengers.

Kecewa dengan kejadian terbabit, Sham yang juga finalis Gegar Vaganza (GV) musim keenam menyifatkan pihak yang melakukan perbuatan khianat itu sebagai manusia ‘berhati hitam’.

“Apabila pihak pengurusan dan ‘admin’ kelab peminat Shamvengers memaklumkan hal ini, saya amat terkejut.

“Saya tidak sangka ada individu di luar sana yang berhati hitam dan berniat buruk terhadap keharmonian hubungan saya bersama Shamvengers, yang terjalin sejak GV6 bermula.

“Tindakan menggodam akaun IG Shamvengers ini adalah perbuatan terkutuk manusia yang iri hati dengan kebahagiaan orang lain,” katanya kepada BH Online.

Sebagai anak seni yang sangat menghargai sokongan peminat, Sham atau nama lengkapnya Rohisham Hashim mengharapkan perkara itu dapat diselesaikan dengan segera kerana laman sosial berkenaan menjadi medan utama untuknya berkomunikasi dengan mereka.

“Saya juga sedih perkara seperti ini terjadi kerana terlalu banyak kenangan dan perjalanan bersama peminat yang didokumenkan dalam IG itu. Saya berharap akaun terbabit dapat diselamatkan menjelang malam final GV6, Ahad ini

“Ketika ini, pengurusan saya, Mind Order, dengan bantuan beberapa pihak sedang berikhtiar untuk mendapatkan semula akaun IG rasmi Shamvengers,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sham berkata, dia tidak pernah mengambil hati dengan sikap sesetengah pihak yang mempersoalkan kejayaannya ke peringkat akhir program realiti itu.

Sebaliknya, kata penyanyi yang popular dengan lagu Dalam Gerimis itu, segala kecaman yang diluahkan tidak ubah seperti hiburan buat dirinya.

“Saya tak kisah dan tidak ambil hati langsung dengan kata-kata mereka. Sebagai orang baharu dan kali pertama berdepan situasi seperti ini (kecaman di media sosial), saya anggap ia sebagai hiburan sahaja.

“Teruskanlah memberi hiburan kepada saya,” katanya sambil tersenyum.

Selain Sham, malam kemuncak GV6 turut menampilkan Hady Mirza, Naqiu, Jatt, Nur Fatima dan One Nation Emcees sebagai finalis.

Berita Harian X