Selasa, 17 Disember 2019 | 5:47pm
NADZMI akur mencari rezeki dalam bidang lain apabila tawaran berlakon semakin berkurangan selepas berumah tangga. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NADZMI akur mencari rezeki dalam bidang lain apabila tawaran berlakon semakin berkurangan selepas berumah tangga. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dugaan Nadzmi cari nafkah

KUALA LUMPUR: Diuji apabila tidak menerima tawaran berlakon sejak mendirikan rumah tangga lebih tiga bulan lalu, pelakon Nadzmi Adhwa, tetap positif meneruskan langkah.

Nadzmi berkata, namanya pernah ditolak sesetengah produksi hanya kerana statusnya sebagai suami, terutama apabila dia mempertahankan prinsip untuk tidak melakonkan babak bersentuhan demi menjaga hati isterinya, Ardell Aryana.

“Memang saya agak terkesan apabila tiada tawaran diterima, tetapi saya tidak boleh terbawa-bawa dengan perasaan. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan bukan hanya menerusi tawaran berlakon.

“Secara jujur, saya memang menunggu tawaran berlakon, namun rezeki sudah tidak seperti ketika saya masih bujang. Saya pula lebih mengutamakan kepuasan dan watak yang ditawarkan, manakala soal bayaran jatuh nombor dua.

“Tersentak juga apabila ada penerbit memberitahu, dia tidak mahu ambil saya berlakon hanya kerana sudah berkahwin. Namun, hidup perlu diteruskan,” katanya.

Nadzmi berkata, biarpun sudah jarang berada di lokasi penggambaran, rezekinya tetap murah, terutama dalam bidang perniagaan.

“Saya seronok berlakon, malah minat itu tidak pernah mati. Begitu juga isteri yang masih berminat meneruskan kerjaya lakonan.

“Tetapi, apabila kurang tawaran berlakon, kami perlu mencari peluang lain, termasuk mengusahakan perniagaan.

“Bukan mahu mendabik dada, tetapi saya bersyukur masih punya pendapatan lain. Cuma, saya dan isteri masih mahu berlakon untuk berkongsi bakat yang ada,” katanya yang hadir memeriahkan pelancaran pusat laser bulu, Hairy Mary diusahakan isteri, Ardell Aryana dan Dr Por Yang Sheng di Publika, Solaris Dutamas.

Nadzmi bagaimanapun, bersyukur dua filem yang diterajuinya iaitu Anak Perjanjian Syaitan dan terbaru, Busut Bonang mendapat reaksi positif penonton.

“Anak Perjanjian Syaitan adalah filem pertama saya. Biarpun masih kekok, saya seronok apabila ia digemari dan mendapat kutipan membanggakan.

“Begitu juga Busut Bonang yang mendapat pujian ramai pada sesi prebiu, baru-baru ini. Ia memberikan saya semangat untuk terus mengasah bakat,” katanya mengenai filem yang bakal menemui penonton bermula 19 Disember ini.

Busut Bonang arahan Khalid Nadzri turut dibintangi Along Eyzendy, Jasper Supayah, Sahronizam Noor, Rashidah Jaafar, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah @Bard dan Ropie.

Mengenai perkahwinan, Nadzmi mengakui, dia sentiasa berusaha untuk menjadi suami yang baik.

“Alhamdulillah, hidup saya semakin bahagia dan sekarang, apa juga keputusan yang dibuat, pandangan isteri tetap diambil kira. Saya selesa dengan apa yang saya lalui ini, malah hidup semakin bermakna sejak ada isteri,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X