Isnin, 16 Disember 2019 | 10:30pm
Noorshila menerima keputusan juri GV6 dan reda biarpun gagal menempah tempat ke pentas akhir program realiti itu, Ahad ini. Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Noorshila menerima keputusan juri GV6 dan reda biarpun gagal menempah tempat ke pentas akhir program realiti itu, Ahad ini. Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

'Mama Shila okay saja'

KUALA LUMPUR: Akur dengan konsep program realiti yang penuh kejutan membuatkan Noorshila Amin reda gagal menempah tempat ke pentas akhir musim keenam Gegar Vaganza (GV6).

Biarpun ada pihak tidak berpuas hati dengan penyingkirannya, malah mendakwa ada unsur sabotaj, namun Noorshila atau lebih mesra disapa Mama Shila, mengaku bersedia dengan segala kemungkinan.

“Seperti yang Mama katakan, percaturan hebat, namun perancangan Allah lagi hebat. Apa yang berlaku, Mama serahkan kepada Allah kerana ini adalah program realiti.

“Mama sering menerima perkongsian keputusan tidak rasmi yang dibuat sekumpulan peminat GV6 melalui WhatsApp. Maklumat diterima memperlihatkan perbezaan ketara dengan keputusan juri.

“Mama difahamkan, pihak yang membuat penilaian itu adalah mereka yang arif dalam muzik. Namun, Mama tak ralat kerana Mama tahu ini adalah GV,” katanya kepada BH Online.

Ditanya tidakkah kenyataan itu boleh mengundang spekulasi dan berunsur prejudis terhadap kredibiliti program berkenaan, Noorshila lebih lebih selesa membiarkan khalayak menilai.

“Terserah bagaimana pemahaman anda terhadap kenyataan Mama itu. Mama tak kata disabotaj. Terpulang kepada khalayak untuk menilai kenyataan itu.

“Apa yang penting, Mama sudah buat yang terbaik dan beri harapan kepada peminat serta pengikut Mama,” katanya.

Noorshila membuktikan ramalan bakal tersingkir pada minggu ketujuh ketika mendendangkan lagu Vroom Vroom, tersasar .

“Mama cuba suntik elemen berbeza dalam setiap tugasan. Alhamdulillah, Mama mampu bertahan sehingga 10 minggu,” katanya yang membawakan lagu Kerna Terpaksa dan Dialah Di Hati bersama Ifa Raziah pada separuh akhir GV6, Ahad lalu.

Selain Noorshila yang popular dengan lagu Kad Ucapanmu dan Aku Sudah Jatuh Hati ini, seorang lagi peserta tersingkir adalah penyanyi bersuara meneran, Wann.

Enam peserta yang mara ke peringkat akhir GV6 adalah Hady Mirza, Naqiu, One Nation Emcees, Jatt, Nur Fatima dan Sham Visa.

Berita Harian X