Sabtu, 14 Disember 2019 | 1:04pm
REMY sentiasa mencabar diri untuk dikenali sebagai pelakon versatil. - Foto Aziah Azmee
REMY sentiasa mencabar diri untuk dikenali sebagai pelakon versatil. - Foto Aziah Azmee

Remy tak takut cari kelainan

KUALA LUMPUR: Pelakon perlu berani keluar dari zon selesa dan sentiasa mencabar diri mempelbagaikan watak untuk membuktikan keupayaan sebenar.

Lebih sedekad mencipta nama, Remy Ishak, 37, mengakui dia berusaha memberi kelainan dalam lakonan untuk membawa bakatnya berada tahap sekarang.

Mula menyerlah menerusi drama Nur Kasih pada 2009, Remy berkata, dia juga terbuka menyahut cabaran untuk memperkukuhkan portfolio kerjaya seninya.

“Memang pada awal kemunculan, saya lebih sinonim dengan watak romantik, namun saya tidak mahu selamanya selesa dengan karakter sebegitu.

“Jadi, saya beranikan diri membawa watak yang mencabar kemampuan, sekali gus membuktikan saya sebagai pelakon serba boleh.

“Alhamdulillah, saya terharu apabila penerbit dan pengarah semakin mempercayai bakat saya. Menjadi pelakon, saya tidak mahu penonton melihat saya hanya mampu membawa watak romantik atau menjaga rupa semata-mata,” katanya.

Antara watak yang membawa Remy keluar zon selesa adalah menerusi telefilem Sabar apabila dia memegang peranan sebagai tukang jahit dari Bangladesh, selain menjadi orang miskin.

Remy ditemui pada majlis pelancaran drama Ombak Rindu The Series, baru-baru ini. Menerusi drama arahan Osman Ali itu, Remy berpasangan dengan Izara Aishah, selain Datin Diana Danielle, Hanna Aqeela dan Adam Corrie.

Mengenai lakonannya dalam drama yang bersiaran di iflix bermula 5 Disember lalu, Remy berkata, konflik dilalui watak Hariz iaitu suami Izzah, lakonan Izzara menuntut emosi yang kuat.

Remy berkata, dia juga sering ditanyakan mengenai batasan ketika melakukan aksi mesra, memandangkan drama itu diangkat daripada novel yang sarat dengan babak romantik.

Baginya, dia tetap menghormati status Izara sebagai isteri orang, malah mereka banyak berbincang sebelum beraksi di depan kamera supaya lebih memahami kepentingan atau keperluan sesuatu adegan.

Berita Harian X