Rabu, 11 Disember 2019 | 9:00am
Amir sedang menyiapkan kertas kerja projek konsert mega UK’s dan berharap ada pihak sanggup menaja acara itu. Foto NSTP Hafiz Sohaimi
Amir sedang menyiapkan kertas kerja projek konsert mega UK’s dan berharap ada pihak sanggup menaja acara itu. Foto NSTP Hafiz Sohaimi

UK's cari penaja bikin konsert mega

KUALA LUMPUR: Sokongan peminat dan keupayaan vokalis menyanyi ‘live’ memberi keyakinan kepada kumpulan UK’s untuk tampil dengan konsert skala besar.

Mewakili teman-teman, vokalis, Amir bagaimanapun berharap ada pihak berminat menaja konsert berkenaan, sekali gus merealisasikan impian mereka.

Amir atau nama penuhnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 50, bersyukur selepas Konsert Minggu Ini terbitan RTM yang dijayakan mereka, beberapa minggu lalu, peminat tidak selalu bertanya mengenai konsert mega.

“Kami ada lebih 20 lagu popular. Dalam persembahan di RTM, kami lihat, kebanyakan peminat hafal lagu kami.

“Daripada maklum balas positif dan sambutan diberi, timbul semangat untuk menganjurkan konsert mega. Kami sudah berusia, kalau bukan sekarang, bila lagi?

“Sebelum berlaku apa-apa, biarlah kami jadikan konsert mega sebagai kenangan terindah buat peminat,” katanya kepada BH Online.

Amir berkata, dua premis difikirkan sesuai untuk menjadi lokasi konsert iaitu Istana Budaya, di ibu negara dan Stadium Malawati, Shah Alam.

“Saya pernah mengadakan persembahan di Istana Budaya. Saya dapati suasana sangat sesuai untuk acara eksklusif. Saya juga sangat tertarik dengan kemudahan dan peralatan teknikal yang ada.

“Namun, jika mahu konsert meriah dan terbuka, kami mengimpikan lokasi seperti Stadium Malawati yang dapat menampung lebih ramai penonton,” katanya.

Bagaimanapun, Amir mengaku kos menganjurkan konsert cukup tinggi.

“Kalau ada pihak yang mahu bekerjasama dan menjadi penaja, kami sangat mengalu-alukan. Saya sedang menyiapkan kertas kerja bagi projek konsert mega ini,” katanya yang merancang mementaskan persembahan itu, Mac depan.

Pada 8 Disember lalu, UK’s yang popular dengan lagu Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu dan Pahit Akan Manis Akhirnya, menjayakan program Konsert Minggu Ini yang disiarkan TV1 serta mendapat sambutan hangat peminat.

Berita Harian X