Isnin, 9 Disember 2019 | 6:50pm

'Saya, Idham tiada konflik'

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menafikan ada konflik antara dirinya dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang memendekkan kontrak perkhidmatan sehingga 10 Mac depan.

Mengesahkan permohonan menamatkan kontrak perkhidmatan lebih awal dikemukakan Ahmad Idham kepada Lembaga Pengarah FINAS, dua minggu lalu, Hans memberitahu, hubungannya dengan Ahmad Idham baik-baik sahaja.

“Tiada sebarang konflik. Cuma dalam aspek inisiatif, kami ada haluan untuk industri dan beliau (Ahmad Idham) sudah buat yang terbaik.

“Malah, Idham masih lagi CEO FINAS.... ada tiga bulan lagi. Saya tiada masalah dengan beliau. Malam tadi, pagi tadi, kami berbalas-balas mesej.

“Misalnya, pagi tadi, saya menggantikan Idham untuk memberi kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Temujanji itu diatur Idham, namun, beliau tidak dapat datang, jadi saya yang menggantikannya seperti diminta,” katanya selepas menjadi ahli panel dalam siri Bicara BH bertemakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri - Kenapa Perlu, Siapa Layak dan Apa Manfaat di Balai Berita di sini, hari ini.

Hans mengulas laporan Ahli Lembaga Pengarah FINAS meluluskan permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan sebagai CEO kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi.

Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Ketika itu, pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif, dilaporkan adalah bagi tempoh dua tahun.

Hans berkata, andaian konon wujud konflik antara dirinya dan Ahmad Idham mungkin timbul daripada isu yang diperkatakan warganet selepas membaca kenyataan dibuat pelakon dan pengarah filem itu, sejak akhir-akhir ini.

“Mungkin banyak isu yang keluar daripada kenyataan Idham... Bagi kami, inisiatif untuk memendekkan kontrak adalah daripada beliau, bukannya kami,” katanya.

Mengulas mengenai alasan peribadi yang dikemukakan Ahmad Idham, Hans berkata, lebih baik perkara itu diajukan sendiri kepada Ahmad Idham.

“Alasan peribadi yang dinyatakan Idham adalah sesuatu yang perlu datang daripada Idham. Bukan bagi saya atau ahli Lembaga Pengarah untuk berkongsi... Apa-apa lebih baik datang dari Idham,” katanya.

Hans turut merakamkan penghargaan atas khidmat Ahmad Idham selama menerajui FINAS dan berharap beliau dapat memberi lebih banyak sumbangan kepada industri seni.

Mengenai pengganti Ahmad Idham, Hans berkata, ketika ini, FINAS terbuka untuk mencari CEO baharu dengan beberapa nama sudah pun dikenal pasti.

“Ada beberapa nama dicadangkan... Kita akan beri peluang kepada mereka mengikut syarat yang ditetapkan untuk menjadi CEO FINAS.

“Ia mengikut apa yang dikehendaki ahli lembaga pengarah serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Ditanya apakah antara individu yang dicadangkan itu merangkumi pemain industri atau mereka yang mempunyai latar belakang industri seni, Hans enggan mengulas lanjut.

Menjawab dakwaan konon dirinya ‘mengawal’ FINAS, Hans berkata, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam perbadanan itu.

“Saya cuma melaksanakan tugas mengikut ketetapan ahli lembaga pengarah. Saya hanya menduduki dua jawatankuasa iaitu Festival Filem Malaysia (FFM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)/Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menjadi inisiatif diusulkan saya sejak mula menyertai FINAS.

“Urusan pentadbiran harian semuanya di bawah CEO FINAS dan kakitangan perbadanan,” katanya.

Hans menafikan ada konflik antara dirinya dan Ahmad Idham yang membuat keputusan memendekkan perkhidmatan sebagai CEO FINAS sehingga 10 Mac depan. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X