Isnin, 9 Disember 2019 | 1:00pm
IDZU mahu kembali aktif menyanyi dan menghasilkan lagu. - Foto Saifulizan Tamadi

'Memang saya macam ni dari dulu'

KUALA LUMPUR: Tiada sekelumit tekanan menghimpit anggota kumpulan Saujana, Dr Idzu Baharin, 38, meskipun sering berdepan kutukan warganet, termasuk dilabel sebagai lelaki lembut.

Bagi Idzu atau nama sebenarnya, Khairul Idzwan Baharin, setiap manusia dikurniakan karakter berbeza, namun dia tidak akan sekali-kali mengubah perwatakannya semata-mata mahu memuaskan hati orang lain.

“Saya bukan lembut, sebaliknya lebih kepada manja. Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan kasih sayang, malah saya rapat dengan ibu.

Saya tahu ramai yang melabel saya sebagai lelaki lembut.

“Namun, semua itu tidak saya endahkan kerana saya hanya ingin menjadi diri sendiri,” katanya.

Idzu berkata, isu itu mula diperkatakan apabila dia aktif di laman sosial. Ada yang menganggap dia menukar penampilan, sedangkan karakternya memang begitu sejak sekian lama.

“Mungkin mereka tidak mengenali saya secara mendalam kerana dahulu, tiada media sosial. Mereka hanya melihat saya menerusi skrin televisyen, video atau akhbar.

“Justeru, ramai yang terkejut dan menganggap saya menukar penampilan apabila aktif di laman sosial. Tidak mengapalah jika mereka berfikiran begitu. Saya terima apa sahaja panggilan yang mereka berikan,” katanya.

Idzu yang tampil bersama Saujana mempertandingkan lagu Satu Dalam Perjuangan pada Anugerah Nasyid 19 (AN19), baru-baru ini, bersyukur penampilannya itu tidak pernah dijadikan isu oleh teman seperjuangannya.

“Mereka tidak pernah menghakimi saya dan langsung tidak berprasangka buruk. Tetapi, tidak pada warganet yang kadang kala berlebihan.

“Alhamdulillah, belum pernah ada penyanyi nasyid yang datang berdepan dan bertanya kenapa karakter saya lembut? Saya menyanyi sejak usia 15 tahun dan mereka lebih kenal siapa saya.

“Saya tidak pernah berkecil hati apabila warganet menghina dan mencemuh. Saya tahu diri saya... Atas alasan itu, saya tidak rasa terhutang untuk menjawab segala bentuk persoalan yang ditimbulkan warganet.

“Syukur, saya tidak pernah tertekan untuk menukar penampilan, malah tanggapan umum tidak pernah membunuh keinginan saya untuk menjadi penyanyi.

“Mungkin kebetulan saya menyanyikan lagu nasyid. Tetapi, saya ada juga menghasilkan dua single pop iaitu Stay dan Percaya, beberapa tahun lalu,” katanya.

Idzu berkata, sebelum ini, tuntutan tugas sebagai doktor di hospital kerajaan menyebabkan dia tiada masa meneruskan minatnya.

Namun, apabila mengusahakan klinik dan pusat kecantikan sendiri, sejak dua tahun lalu, dia sudah boleh mengatur masa dengan baik.

“Tidak dinafikan, saya rindu untuk menyanyi semula. Keinginan itu tidak pernah mati, walaupun saya kurang aktif.

“Dahulu, saya terikat dengan kerja, jadi saya tidak mahu menyusahkan anggota kumpulan yang lain jika tiada masa memenuhi undangan persembahan,” katanya.

Meneruskan minatnya, Idzu merancang untuk mencuba genre berbeza, termasuk merakamkan lagu berunsur positif. Dia juga berhasrat menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.

Berita Harian X