Khamis, 5 Disember 2019 | 6:20pm
PELAKON, Diana Danielle, pada majlis pelancaran siri Ombak Rindu di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin
PELAKON, Diana Danielle, pada majlis pelancaran siri Ombak Rindu di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Diana enggan ulas mengenai suami

KUALA LUMPUR: “Kalau pasal Farid, saya tak mahu cakap.”

Demikian maklum balas isteri Datuk Farid Kamil Zahari, Datin Diana Danielle, apabila wakil media meminta untuk mewawancara pelakon itu mengenai suaminya yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan disebabkan kesalahan dadah.

Diana yang ditemani dua anaknya terus berlalu menghindari beberapa wakil media yang menunggunya di tepi pentas sewaktu acara promosi drama terbarunya, Ombak Rindu The Series, di sini, hari ini.

Selain Diana, drama empat episod arahan Osman Ali yang disiarkan menerusi iflix, bermula hari ini, turut membariskan Remy Ishak, Izara Aishah, Hanna Aqeela, Uqasha Senrose dan Adam Corrie Lee.

Minggu lalu, Farid kembali menjalani hukuman penjara seperti yang ditetapkan atas kesalahan penyalahgunaan dadah selepas rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada Mei lalu, Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 38, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid memilih untuk berdiam diri selepas diperintahkan membela diri.

Bagaimanapun, selepas 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman terbabit selepas permohonan rayuan difailkan pelakon berkenaan.

Mengikut pertuduhan, pelakon filem J Revolusi itu didakwa menggunakan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling Jaya, pada 11 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X