Khamis, 5 Disember 2019 | 3:42pm
Sebahagian saudara-mara, kenalan dan rakan artis yang menyertai solat jenazah untuk Allahyarham Nassier di Masjid Sirajuddin Al Anuar, Kampung Batu Belah, Klang, pagi tadi. Foto NSTP Roslin Mat Tahir

Niat rakam lagu duet tak kesampaian

KLANG: Penyanyi Ramlah Ram masih terbayang senyuman dan gurauan Allahyarham Datuk Nassier Wahab yang gemar membuat teman-teman senang hati apabila bertemu.

Pernah merakamkan lagu duet Susah Senang Kita Bersama dengan arwah pada 1988, Ramlah berkata, dia bagai tidak percaya teman rapatnya sudah tiada.

“Saya terkejut dan seolah-olah tidak percaya arwah sudah tiada. Malah, saya masih teringat-ingat senyuman dan gurauannya.

“Ketika menziarahinya, baru-baru ini, saya meluahkan hasrat merakamkan lagu duet apabila dia sihat. Namun, hasrat saya itu tidak kesampaian,” katanya ditemui selepas selesai majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Batu Belah, di sini untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan dan proses pengebumian selesai pada jam 11.35 pagi.

Kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga dan rakan artis menziarah Allahyarham. Antara yang dilihat adalah Datuk Nash; Datuk M Nasir; Datuk DJ Dave, Zarul Husin; Datuk Khadijah Ibrahim dan Herman Tino.

Sementara itu, M Nasir berkata, pemergian Nassier dianggap kehilangan besar buat industri kerana tiada penyanyi lelaki berbakat sepertinya.

“Arwah berhemah, berbudi bahasa dan berjaya dalam kerjaya. Boleh dikatakan arwah adalah yang terakhir kerana sukar untuk mencari penyanyi lelaki sepertinya.

“Kali terakhir saya melihat Nassier adalah pada program Gegar Vaganza (GV). Selepas itu, saya dapat tahu arwah sakit melalui perkhabaran Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT),” katanya.

Allahyarham Nassier menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 pagi selepas dimasukkan ke hospital, kelmarin.

Berita Harian X