Rabu, 4 Disember 2019 | 7:00pm
PELAKON dan penyanyi, Erra Fazira, akan muncul sebagai artis undangan pada Konsert Awie Romantika, Februari tahun depan. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON dan penyanyi, Erra Fazira, akan muncul sebagai artis undangan pada Konsert Awie Romantika, Februari tahun depan. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Awie, Erra bakal dedah punca cinta terlerai

SERI KEMBANGAN: Konsert Awie Romantika yang akan berlangsung 15 Februari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, bukan sekadar bakal mengimbau perjalanan kisah cinta pasangan selebriti, Datuk Awie dan Erra Fazira, malah mendedahkan punca percintaan mereka terputus di pertengahan jalan.

Tidak kisah jika ada yang menganggap dia cuba menjual kisah cinta lama, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 51, berkata, perkara itu perlu diperjelaskan supaya tidak timbul salah faham atau spekulasi mengenai hubungan mereka terus bertebaran.

“Masih ramai peminat belum dapat melupakan kisah cinta kami walaupun ia sudah lama berlalu. Malah, sehingga ke hari ini, ada lagi yang bertanya kepada saya mengenai Erra. Antaranya, persoalan mengapa kami tidak berkahwin? Justeru, konsert itu nanti akan menjadi tempat untuk kami mendedahkan apa yang berlaku, termasuk alasan hubungan berakhir.

“Pada saya, konsert itu menjadi jalan penyelesaian bagi meleraikan segala masalah atau kemelut antara kami. Mungkin ketika kisah putus cinta itu berlaku, ramai yang menuding jari menuduh saya ataupun Erra yang bersalah. Untuk mengelakkan tuduhan itu berlarutan, kami akan menjelaskan apa yang berlaku pada konsert terbabit nanti.

“Pada saya, konsert adalah cara paling menarik untuk menceritakan kisah terbabit kerana ia dibantu dengan muzik, pencahayaan dan lakonan yang akan mengindahkan lagi penyampaian kami,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis sidang media mengumumkan Erra sebagai artis jemputan konsert berkenaan, di sini, hari ini.

Demi menjaga hati banyak pihak, Awie berkata, sebelum membuat keputusan tampil dengan konsert menggandingkannya dengan penyanyi Terpaksaku Melangkah itu, dia terlebih dahulu meminta izin isterinya, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, yang dikahwini tiga tahun lalu.

AWIE bersama isteri dan Erra pada sidang media konsertnya di Seri Kembangan. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
AWIE bersama isteri dan Erra pada sidang media konsertnya di Seri Kembangan. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

“Terima kasih kepada isteri kerana mengizinkan saya mengundang Erra menjayakan konsert ini. Tiada sebarang syarat diletakkan olehnya, kecuali dia teringin untuk bergambar dengan Erra,” ujar penyanyi Ratuku itu.

Sementara itu, biarpun paparan pada konsert terbabit boleh mencetuskan kontroversi, Erra yakin peminat mampu menerimanya kerana mereka kini semakin matang dan mampu menilai serta membuat pertimbangan sendiri.

“Saya percaya, peminat yang dahulu kecewa apabila kami tak jadi berkahwin dan membuat pelbagai spekulasi, kini sudah matang serta percaya semuanya berlaku disebabkan tiada jodoh. Apa yang akan kami paparkan nanti lebih kepada sudut positif,” ujar Erra.

Usai majlis sidang media, Awie bersama rombongannya terus bergerak ke selatan untuk mengadakan siri jelajah mempromosikan konsert terbabit.

Antara lokasi dikunjungi ialah Giant Hypermarket Mall, Senawang, dan Menara Taming Sari, Melaka, pada sebelah malamnya.

Berita Harian X