Jumaat, 15 November 2019 | 11:07am
Kecik (dua dari kiri) mengumumkan keluar daripada band Kristal melalui perkongsian di Instagram. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Saya bukan rocker'

KUALA LUMPUR: Genap setahun bersama Kristal, vokalis utama, Kecik nekad mengundurkan diri daripada kumpulan itu selepas mengaku sudah tiada jiwa untuk terus bersama.

Luah Kecik, dia tidak boleh lagi menggalas tanggungjawab dan enggan kumpulan itu 'jatuh' disebabkan dirinya.

"Mungkin saya masih mencari-cari jiwa. Saya bukan penyanyi rock. Saya potong rambut bukan disebabkan hendak tunjuk saya mengalah.

"Cuma saya nak bagi tahu, jiwa saya sudah tiada bersama band itu. Saya memohon maaf kepada semua ahli Kristal dan syarikat rakaman yang selama ini banyak membantu.

"Insya-Allah, saya akan aktif semula sebagai penyanyi solo atau berkumpulan jika diberi peluang industri muzik yang saya cintai,” katanya yang meluahkan perasaan di Instagram.

Kecik atau nama penuh, Mohammad Fauzi Kamarudin, 25, mengumumkan pengundurannya dibuat atas persetujuan anggota lain.

"Saya dan Kristal berpisah secara baik. Kami tak bergaduh dan masih berkawan. Jangan risau walau apapun terjadi, kawan tetap kawan.

"Jangan buang kawan. Keputusan ini juga dilakukan untuk kebaikan kedua-dua pihak," katanya yang menyertai kumpulan rock itu pada Oktober tahun lalu.

Menerusi perkongsian lain, Kecik mengaku sudah lama menimbangkan hasrat meninggalkan Kristal kerana tidak boleh memaksa diri.

"Sebenarnya, saya dah lama nak beritahu bahawa jiwa saya tak 'masuk' dengan Kristal. Saya bukan seorang rockers, saya cuba dan cuba tetapi tetap tak boleh.

“Saya tak boleh buat benda yang saya tak cinta. Terima kasih kepada Rody, Acap, Kechiq, Pak Din, Mak Din dan Niena sebab banyak tolong Kecik selama menjadi penyanyi utama Kristal,” jelasnya.

Kecik menyertai Kristal untuk menggantikan Lan Solo yang memilih haluan sendiri pada November 2017.

Berita Harian X