Jumaat, 15 November 2019 | 9:00am
RIENA mengakui ada ketika tewas dengan perasaan dan gagal menangani situasi itu. Foto IG Riena Diana

Saya tak cari publisiti murahan - Riena Diana

KUALA LUMPUR: Pelakon yang popular menerusi watak Qadeeja dalam drama Nur, Riena Diana, menafikan dia sengaja menarik perhatian ramai apabila memuat naik rakaman video sedang menangis teresak-esak menerusi Instagram, kelmarin.

Pelakon yang dicungkil menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 itu berkata, dia tidak berniat mencari publisiti murahan hanya untuk menaikkan nama.

“Sebagai manusia, ada kalanya saya tewas dan lemah dengan dugaan serta ujian hidup. Namun, saya langsung tidak berniat mahu meraih perhatian dengan cara mudah.

“Mungkin ada yang menganggap saya mahu mencari publisiti murahan kerana ingin menambah jumlah pengikut di Instagram. Percayalah, itu bukan cara saya.

“Memang saya punya ramai pengikut di laman sosial, tetapi realitinya, ada ketika saya seolah-olah keseorangan. Bukan saya tiada tempat mengadu, cuma saya tidak tahu bagaimana untuk mulakan dan dengan siapa saya perlu berkongsi masalah,” katanya.

Riena berkata, apa yang dibuatnya itu juga tiada kaitan dengan spekulasi hubungannya bersama jejaka yang dikenali sebagai Nik Afiq sudah berakhir.

“Mana ada kami putus... Saya tidak pasti apakah saya sedang berdepan tekanan atau kemurungan. Saya akur, pasti ramai yang mengecam tindakan saya itu.

“Namun, tidak semua tahu apa sebenarnya yang saya lalui. Jika ditanya keadaan saya, pasti saya jawab, insya-Allah semuanya baik-baik sahaja.

“Cuma apabila bersendirian, saya tidak dapat mengawal diri dan tiba-tiba menangis tanpa sebab. Saya percaya, saya tidak bersendirian berdepan masalah seperti ini.

“Saya tidak tahu bagaimana berhadapan situasi itu. Setiap manusia ada masalah, tetapi salahkah jika sesekali saya menangis untuk meluahkan perasaan?

“Saya tidak sanggup berlakon di alam realiti. Inilah diri saya yang sebenar. Namun, saya berharap sangat semua dugaan ini akan segera berlalu kerana saya juga berhak gembira seperti insan lain,” katanya.

Berita Harian X