Selasa, 12 November 2019 | 1:00pm
Cinta ketika beraksi di Lazada 11.11 Super Show di PICC, Putrajaya, Ahad lalu. Foto Aziah Azmee

Mahu tenang, 'tutup' sekejap IG

KUALA LUMPUR: Penyanyi seberang, Cinta Laura Kiehl mengaku lebih selesa mengembangkan kerjaya seni di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) berbanding Indonesia.

Bertandang ke ibu negara bagi menjayakan Konsert Lazada 11.11 Super Show di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin, Cinta mendakwa peminat di Indonesia lebih agresif meninggalkan komen di laman sosial.

“Saya lebih suka mengabaikan komen negatif di laman sosial. Ada kalanya komen dilayang melampau tetapi saya lebih senang tidak melayan. Tapi jika keadaan memerlukan saya mengulas, saya akan jawab.

“Ada kala komen mereka terlalu ‘gila’, tetapi reaksi sedemikian tidak pula saya terima daripada peminat di AS. Tapi itu bukanlah alasan untuk saya melupakan kerjaya seni saya di Indonesia, apatah lagi peminat banyak menyokong kerjaya seni saya di sana,” katanya.

Penyanyi tinggi lampai kacukan Indonesia-Jerman itu sering mencetuskan kontroversi antaranya berpakaian seksi ketika menjayakan Jember Fashion Carnival (JFC) 2019 serta penyebaran beberapa keping foto mesra dan intim bersama bekas kekasihnya, Frank Garcia.

Bagaimanapun, Cinta ada cara tersendiri untuk ‘bertenang’ iaitu dengan menyahaktifkan akaun media sosial buat seketika seperti yang dilakukannya, Julai lalu, sehingga menimbulkan tanda tanya peminat.

“Ia ibarat ‘detoks’ daripada sosial media buat seketika. Detik itu umpama ‘me time’ untuk diri saya sahaja. Biasanya, saya akan gunakan tempoh berkenaan untuk menumpukan perhatian kepada insan tersayang.

“Apabila fikiran lega, saya akan mengaktifkan semula akaun laman sosial dan berkongsi aktiviti seni,” katanya yang popular menerusi sinteron Cinderella serta Upik Abu dan Laura.

Berita Harian X