Selasa, 12 November 2019 | 11:00am
Karakter Ungku Hariz dan Reen Rahim menyerlah dalam drama Lelakimu Yang Dulu siaran TV3. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman
Karakter Ungku Hariz dan Reen Rahim menyerlah dalam drama Lelakimu Yang Dulu siaran TV3. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Ungku Hariz, Reen Rahim satu 'kepala'

KUALA LUMPUR: Luarannya, pelakon drama Lelakimu Yang Dulu, Reen Rahim, 31, dan Ungku Hariz, 34, kelihatan gila-gila dan suka buat lawak.

Karakter yang dibawa menerusi drama arahan Eoon Shuhaini terbitan Mache All Star United Sdn Bhd itu turut memperlihatkan keserasian mereka apabila membawa watak kelakar.

Hakikatnya, ia hanya di kaca televisyen (TV). Mereka sebenarnya boleh bertukar-tukar karakter mengikut situasi. Secara peribadi, Ungku Hariz seorang yang serius, manakala Reen pula tegas.

Jika si cantik itu lebih dahulu dikenali menerusi watak antagonis, Ungku Hariz pula banyak menjayakan karakter berat sebelum dicop sebagai pelakon komedi.

Ungku Hariz yang juga suami kepada pengacara, pelakon dan pelawak, Jihan Muse, berkata dia bukan seorang berperwatakan kelakar, tetapi suka menceriakan keadaan ketika menjalani penggambaran.

“Kita semua tahu, kerja sebagai pelakon sentiasa berdepan tekanan dan memenatkan. Ada kala, terbawa-bawa dengan masalah peribadi di lokasi penggambaran.

“Saya bukannya pelawak atau kerja main-main, tetapi saya suka membuatkan suasana menjadi meriah. Tekanan dapat dilupakan apabila suasana penggambaran ceria dan penuh gelak tawa.

“Saya kena lebih gila-gila jika memikul watak komedi. Jika tertekan dan terikut-ikut pula dengan aura itu, watak komedi pastinya hambar. Kadang kala saya kena buat gila, barulah watak komedi dilakonkan sampai kepada penonton.

“Bagaimanapun, jangan tak percaya, saya dan Jihan serius di rumah. Jarang sekali kami berlawak dan berjenaka. Karakter gila-gila hanya ketika bekerja,” katanya kepada BH Online.

Diperkenalkan menerusi program realiti, Pilih Kasih musim kedua, Ungku Hariz berkata, dia bimbang sekiranya sukar mendapat

kepercayaan membawakan watak berat apabila sering dihulurkan peranan komedi.

“Jujurnya, keselesaan dan kepuasan tentunya menerusi watak berat atau berkarakter. Saya mendapat bimbingan guru, Fauziah Nawi, pada awal pembabitan dalam dunia teater ketika usia belasan tahun.

“Mulanya, saya diajar dengan skrip naskhah sastera. Disebabkan bermula dengan watak berat, jadi watak komedi yang lebih ringan tidak menjadi masalah besar.

“Sejak berkahwin dengan Jihan, saya mula menerima watak komedi. Begitupun, saya risau dicop sebagai pelawak hingga sukar berbalik kepada watak serius. Saya lihat, beberapa artis yang dahulu pemain watak serius seperti mendapat badi apabila terus dicop sebagai pelakon komedi. Kalau boleh, saya mahu berlakon pelbagai watak,” katanya.

Ungku Hariz atau nama sebenarnya, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli berkata, walaupun tidak terlalu menonjol dan sekadar membawa watak pembantu, rezekinya tak pernah putus sejak 12 tahun lalu.

“Saya bukan tidak pernah membawakan watak hero, malah pernah tampil bersama beberapa drama komedi. Bagaimanapun, saya bersyukur peluang pekerjaan tidak pernah putus sejak bergelar anak seni.

“Tanyalah mana-mana pelakon, setakat sebulan atau dua tidak bekerja, ia perkara biasa. Jatuh dan bangun sentiasa berlaku.

“Apa yang membuatkan saya bertahan kerana minat. Jika sekadar cari populariti dan tidak menyemat minat mendalam, rasanya sudah lama saya beralih kepada kerjaya lain.

“Saya tidak pernah ralat ada kerja atau sebaliknya. Ini kerjaya yang saya minat, jadi tidak perlulah merungut jika sebulan dua tiada kerja," katanya.

Pelakon yang pernah mencuri tumpuan menerusi drama Cinta 100kg dan Girlfriend Aku Dari Neraka itu berkata, dia mengenali Reen menerusi program realiti, Pilih Kasih.

“Bagaimanapun, inilah kali pertama saya dan Reen digandingkan bersama menerusi drama Lelakimu Yang Dulu. Kami mempunyai cara yang berbeza dalam lakonan.

“Pada hati pertama di set penggambaran, saya melihat caranya bermain dengan watak terlebih dahulu. Reen seorang yang gila-gila dan spontan. Jadi, saya kena banyak bersedia dengan lontaran dialog yang tidak dijangka.

“Banyak dialog spontan yang kami lontarkan ketika di lokasi. Mulanya, saya memang tidak biasa, tetapi saya tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan keserasian dengan Reen,” katanya sambil mengakui banyak mengadakan perbincangan dengan pelakon itu bagi menghasilkan lakonan lebih mengesankan.

Bagi Reen, Ungku Hariz adalah seniornya dalam program Pilih Kasih.

“Saya dan Ungku Hariz pernah bertemu beberapa kali. Bagaimanapun, saya tahu dia adalah pelakon watak berat. Orangnya serius dan ‘gentleman’. Saya sudah bersedia bekerjasama dengan Ungku Hariz apabila mendapat tahu dia membawakan watak Idlan.

“Asalnya, saya pelakon watak antagonis sebelum komedi. Saya teruja mahu menguji diri bergandingan dengan pelakon watak berat seperti Ungku Hariz.

“Satu cabaran buat kami mencari keserasian dalam membawa watak gila-gila, ‘cute’ dan kelakar dalam drama siaran TV3 ini. Alhamdulillah, watak terbabit menonjolkan lakonan kami,” katanya.

Reen berkata, sebagai pelakon, dia dan Ungku Hariz mengkaji skrip dan watak dengan bimbingan pengarah.

“Apabila masuk ke set penggambaran, kami terus menghayati karakter dan bersedia dengan kejutan. Sekiranya graf seorang daripada kami agak menurun, seorang lagi kena kawal situasi dan cepat bertindak dengan mencampakkan kreativiti bagi menjadikan sesebuah babak hidup.

“Apabila drama menjadi bualan, ia bukan kerja kami. Ia rezeki daripada Allah yang mengizinkan kami menjiwai watak dengan jujur. Saya percaya kejujuran watak pasti dapat dirasai penonton,” katanya.

Juara program Pilih Kasih musim ketiga itu berkata, dia bukan lagi Reen Rahim apabila memasuki set penggambaran.

“Saya akan menjadi watak yang dipertanggungjawabkan. Saya akan memastikan setiap babak menjadi sehingga membuat penonton percaya lakonan sebagai adik-beradik, kekasih, anak, skandal atau apa sahaja, asalkan tidak melanggar batasan.

“Apabila bergandingan dengan pelakon lelaki yang sudah berumah tangga, saya cukup jaga batasan dan pergaulan,” katanya.

Reen berkata, dia pernah keliru dengan perwatakannya.

“Saya boleh bertukar-tukar karakter mengikut situasi, majlis dan orang di sekeliling. Ia kelebihan yang Allah berikan kepada saya.

“Saya manja dan gila-gila apabila bersama keluarga dan orang yang tersayang. Bagaimanapun, saya akan lebih profesional dan tegas apabila berada di khalayak. Ada kala karakter saya bertukar garang, tetapi saya bukan begitu setiap masa,” katanya.

Kongsinya, dia sentiasa berpegang pada prinsip, rezeki tidak pernah salah alamat. Selepas Pujaan Hati Kanda, dia sekali lagi diberikan kepercayaan menerusi drama Lelakimu Yang Dulu yang disiarkan menerusi slot tumpuan ramai.

“Cuma, saya perlu bekerja dengan ikhlas. Sekiranya sampai waktu, sekecil mana pun watak, ia tetap menjadi tuah.

“Bagi saya, watak utama atau pembantu bukan masalah besar. Sebaliknya, seorang pelakon puas apabila dapat menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Allah adalah sebaik-baik perancang. Saya cuma harus bersyukur dan bekerja sebaiknya atas rezeki yang sudah disusun untuk saya," katanya.

Reen juga menafikan penampilan seksi yang sering dikaitkan dengannya menjadi halangan untuk dia mendapat watak utama.

“Saya percaya, pengarah dan produser tidak menilai saya dari segi penampilan. Mereka sentiasa profesional dalam bekerja.

“Mereka menghulurkan watak mengikut kesesuaian, bukan kisah peribadi atau penampilan," katanya turut membintangi filem KL Vampires arahan Daven R.

Berita Harian X