Isnin, 11 November 2019 | 11:00am
Pablo berharap kesedaran masyarakat terhadap keperluan golongan OKU meningkat. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pablo kagum dengan insan OKU

KUALA LUMPUR: Pelakon, Pablo Amirul mengaku sukar menjayakan watak orang kurang upaya (OKU) apatah lagi perlu bergerak menggunakan kerusi roda dalam filem Garang.

Pablo, 34, memberitahu, dia mengurangkan pergerakan bahagian pinggang ke bawah ketika berada di set penggambaran demi menghayati watak atlet paralimpik.

“Saya memegang watak anggota tentera bernama Kamal yang pulang daripada berjuang dalam keadaan lumpuh.

“Bukan mudah untuk membawakan karakter ini kerana tidak dapat bergerak. Jadi saya banyak belajar daripada Wan Hanafi yang dipanggil ayah dan ibu Fauziah Nawi,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi lebih lanjut, Pablo berkata, dia perlu duduk di atas kerusi roda selama 14 jam setiap hari untuk tempoh sebulan.

“Semestinya saya kurang selesa, kebas dan rasa panas pada bahagian belakang. Namun, perasaan itu dibuang jauh apabila melihat kekuatan dan semangat barisan pelakon OKU dalam filem ini,” katanya.

Umpama ‘hanyut’ dalam watak, ada kalanya, Pablo terasa hendak menggaru kakinya yang gatal.

“Namun, saya tahan rasa gatal. Ini kerana saya ‘tanam’ dalam kepala, saya tidak ada apa-apa rasa di kaki.

“Saya banyak belajar daripada pembikinan filem ini. Saya sedar pendidikan mengenai golongan OKU di Malaysia kurang berbanding negara lain,” katanya.

Pablo berkata, dia kagum dengan semangat insan OKU yang mampu melakukan pelbagai aktiviti.

“Jadi cubalah dekati mereka dan hulurkan bantuan apabila memerlukan. Sekurang-kurangnya, kita memberi mereka motivasi dengan layanan sama rata.

“Kita perlu didik komuniti mendekati insan OKU kerana kesedaran mengenai perkara ini kurang,” katanya.

Filem Garang terbitan Sakti Films Sdn Bhd bakal ditayangkan pada 5 Disember depan sempena Hari OKU Antarabangsa pada 3 Disember.

Selain Pablo, Wan Hanafi dan Fauziah, filem itu dibintangi Jalil Hamid, Ahmad Maembong, Cha Cha Maembong, Adam Lee dan ramai lagi.

Berita Harian X