Isnin, 4 November 2019 | 1:00pm
HATTAN terkilan dengan sikap segelintir stesen radio yang enggan memutarkan lagu penyanyi lama. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
HATTAN terkilan dengan sikap segelintir stesen radio yang enggan memutarkan lagu penyanyi lama. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Jangan bunuh semangat penyanyi lama berkarya - Hattan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Hattan, 54, terkilan dengan sikap diskriminasi dan pilih bulu yang diamalkan segelintir pengendali stesen radio apabila enggan memutarkan lagu baharu yang dirakamkan penyanyi senior.

Hattan berkata, stesen radio perlu lebih adil dalam memberikan ruang kepada penyanyi lama mengetengahkan lagu kerana jika masalah itu berlarutan, ia membantutkan hasrat mereka untuk tampil dengan karya baharu.

“Sebagai penyanyi berpengalaman, kami berusaha mencari karya terbaik untuk diketengahkan, tetapi akhirnya kami kecewa apabila usaha tidak dihargai.

“Memang ramai yang mengusulkan supaya kami menggunakan medium dalam talian seperti YouTube untuk mempromosikan lagu, tetapi kebanyakan peminat kami masih setia mendengar radio.

“Saya tidak mengharapkan lagu yang dirakamkan mendapat jumlah tontonan mencecah berjuta-juta di YouTube. Cukup jika lagu saya didengar dan keringat saya dihargai. Apabila stesen radio memutarkan lagu baharu kami, sedikit sebanyak ia membantu penyanyi lama mencari rezeki,” katanya.

Penyanyi yang muncul dengan single terbaru, 5 Oktober itu berkata, tidak semua artis lama berpeluang mendapat pendedahan meluas seperti menyertai program realiti, Gegar Vaganza.

“Kalau platform sedia ada semakin terbatas, bagaimana kami mahu meneruskan hidup? Duit yang dikeluarkan untuk menghasilkan sesebuah lagu juga bukan sedikit,” katanya.

BERSAMA Hazama dan Azlan & The Typewriter yang bakal beraksi dalam konsert Rock Tri-O di DFP pada 16 dan 17 November ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
BERSAMA Hazama dan Azlan & The Typewriter yang bakal beraksi dalam konsert Rock Tri-O di DFP pada 16 dan 17 November ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Sehubungan itu, Hattan turut menyeru persatuan artis supaya menubuhkan stesen radio sendiri bagi mengelakkan isu pilih kasih berlarutan.

“Saya bersuara bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya turut mewakili rakan lain yang pernah berdepan masalah sama. Alasan diberikan stesen radio, mereka perlu menjaga rating.

“Saya tiada masalah dengan penyanyi baharu, tetapi jangan pinggirkan kami. Apabila menganjurkan konsert jelajah, tahu pula mereka mencari artis lama. Jangan buat kami seperti melukut di tepi gantang.

“Namun, tidak semua stesen radio begitu kerana masih ada yang memberi ruang kepada penyanyi lama mempromosikan karya mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hattan mengakui, teruja bakal bergandingan dengan Hazama dan Azlan & The Typewriter menerusi Konsert Rock Tri-O yang dipimpin konduktor orkestra, Ahmad Muriz Che Rose.

Konsert berkonsepkan rock dan orkestra atau rockestral itu bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC pada 16 dan 17 November ini.

“Saya juga akan menjayakan konsert Aku Hattan Kau Sifu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Februari depan,” katanya.

Berita Harian X