KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon, Eyra Hazali, 20, sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Haziq Nadzli, kita-kira jam 9.35 malam, Jumaat.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Hazali Ramli, dengan disaksikan Pendaftar Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Jamel Jaafar di Masjid As-Syakirin KLCC, di sini.
Pada majlis berkenaan, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM3,001 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11.
Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.
"Syukur Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar. Sebelum dinikahkan, jujurnya saya gementar, namun Allah mempermudahkan urusan kami.
"Banyak juga dugaan kami lalui menjelang hari pernikahan. Satu persatu dugaan datang, termasuklah lokasi pernikahan. Masjid ini adalah lokasi kedua yang kami tukar," katanya.
Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 150 tetamu termasuk keluarga, kenalan rapat dan teman media.
Bagi majlis penuh bersejarah buatnya itu, Eyra menggayakan persalinan hasil rekaan sendiri yang dijahit ibunya, Qhuzie Johari.
Majlis resepsi mereka bakal berlangsung Ahad ini di Damansara Perdana.
Bintang utama drama Mr Grey itu mengikat tali pertunangan dengan Haziq, 21, pada 1 Disember tahun lalu.