Rabu, 30 Oktober 2019 | 5:15pm
FAUZIAH menyifatkan arwah anak sulungnya begitu menghormati orang tua dan tidak pernah melawan cakap. Foto IG Pitt Hanif

'Tak apa Pitt, mama reda...'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan aktivis teater, Fauziah Nawi menyifatkan pengarah, Allahyarham Pitt Hanif atau nama penuhnya Mohd Firdaus Mohd Hanif sebagai anak yang begitu menghormati orang tuanya.

Berkongsi perkara itu menerusi Instagram, Fauziah berkata, anak lelaki tunggalnya itu juga tidak pernah meninggikan suara, malah tidak melawan kata-katanya.

“Hari ini, hari kelima Pitt tinggalkan mama. Pitt anak yang baik, tidak pernah meninggikan suara dan mempertahankan diri, biar apapun mama cakap.

“Mama reda Pitt. Cuma, satu mama nak cakap, Pitt memang berpakat dengan arwah baba tinggalkan mama. Tak apa Pitt, mama reda...,” tulisnya.

Menerusi laman sosial itu, Fauziah turut berkongsi beberapa gambar kenangan Allahyarham.

Pengarah filem Coast Guard itu ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama rakan, Sham Mokhtar, terbalik ketika mereka memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis, Pahang, Sabtu lalu.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat Pitt jam 4.25 petang, Ahad lalu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat, di sini, jam 2 pagi, kelmarin.

Pitt yang juga anak sulung daripada dua beradik meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia di antara tujuh hingga 16 tahun.

Berita Harian X