Ahad, 27 Oktober 2019 | 4:34pm
Kenyataan Fauziah Nawi dalam laman Facebooknya.

'Doakan urusan pencarian anak saya dipermudahkan'

KUALA LUMPUR: “Saya masih menunggu perkhabaran mengenai anak saya. Maaf, saya tidak dapat memberikan apa-apa kenyataan kerana belum ada butiran lanjut”.

Demikian kenyataan pelakon Fauziah Nawi, 66, yang sabar menanti perkembangan berita pencarian anak lelakinya, Pitt Hanif, 43, yang masih hilang di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang.

Pitt atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif yang juga seorang pengarah dikhuatiri lemas apabila bot gentian kaca yang dinaikinya bersama Sham Mokhtar, 38, dikatakan pecah sebelum dia dihanyutkan arus sungai, manakala rakannya dapat diselamatkan.

Kenyataan Fauziah Nawi dalam laman Facebooknya.

Difahamkan, Firdaus berada di daerah itu bagi menyiapkan penggambaran filem Coast Guard yang bermula kira-kira dua bulan lalu.

“Sehingga kini, anak saya masih belum ditemui. Saya harap semua pihak faham dengan situasi ini dan terima kasih kerana bertanya,” katanya.

Sementara itu, Fauziah dalam muat naik terbaru di Facebook, sejam lalu menulis: “Anakku Mohd Firdaus bin Hj Mohd Hanif aka Pitt Hanif masih belum ditemui.”

Fauziah yang juga aktivis teater dalam kenyataannya, semalam berharap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga dan proses pencarian anaknya itu dipermudahkan.

Berita Harian X