Sabtu, 26 Oktober 2019 | 1:32pm
PENYANYI, Amy, membayangkan hasrat melaksanakan misi besar sempena ulang tahun kelahiran ke-62 pada 2020. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Amy, membayangkan hasrat melaksanakan misi besar sempena ulang tahun kelahiran ke-62 pada 2020. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Amy bakal adakan konsert bersama Search?

KUALA LUMPUR: Vokalis Search, Amy, membayangkan hasrat melaksanakan misi besar dalam kehidupan sempena ulang tahun ke-62 kelahirannya, pada 2020.

Katanya, buat masa ini dia sedang mencari ilham bagi merealisasikan sesuatu yang sudah lama difikirkannya.

"Ia macam kisah si penulis novel yang menulis bab akhir di muka surat terakhir... Itulah penamatnya. Ada kalanya, mereka cuba panjangkan, tetapi menjadi terlalu membosankan.

“Penutup kena tepat untuk menjadikan naskhah novel itu laris, lebih kurang macam itu. (Kini) Dalam perjalanan ke Kaikora, New Zealand, sambil mencari idea apa yang terbaik untuk menghabiskan impian solo saya.

“Mungkin Cerita Aku.. Amy. Lagipun, tahun depan saya sudah 62 tahun, Rasanya memang sampai masa untuk menghabiskan apa yang ada dalam kepala otak.

“Saya harap sesuatu yang magis akan berhasil. Saya hanya mahu ke depan untuk menggapai impian magis ini. Insya-Allah,” tulisnya di Instagram, kelmarin.

Rata-rata pengikut yang meninggalkan komen dalam status itu seakan-akan tidak sabar mengetahui perancangan yang bermain di fikiran bintang rock berkenaan.

Sebahagian besar peminat menjangkakan impian yang ingin dicapainya adalah sebuah konsert mega daripada Search.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu bercuti di New Zealand bersama menantu dan anaknya, termasuk pelakon, Nabila Huda.

Anak seni yang mengabdikan diri di arena muzik sejak hampir empat dekad lalu itu ingin menghabiskan masa bersama keluarganya selama dua minggu sebelum kembali sibuk dengan tugasan.

AMY bersama Nabila dan suaminya ketika berada di New Zealand. - Foto Instagram Amy Search
AMY bersama Nabila dan suaminya ketika berada di New Zealand. - Foto Instagram Amy Search

Sempat berkongsi jadual kerjayanya, Amy memaklumkan bakal terbang ke Tokyo, Jepun, sebaik sahaja tiba di ibu negara pada 31 Oktober ini.

“Dua minggu cuti dengan anak-anak. Sampai Kuala Lumpur pada 31 Oktober saya akan terus ke Tokyo. Selepas itu, ke acara di Kota Singa dengan Presiden Singapura dan dari sana, saya ke Yogjakarta pula.

“Jadual saya sebenarnya terlalu padat sampai ke hujung tahun. Alhamdulillah. Saya hanya berusaha dan selebihnya tawakal,” katanya lagi.

Berita Harian X