Jumaat, 25 Oktober 2019 | 9:30am
PELAKON, Aishah Azman, sewaktu hadir pada sidang media drama Suri Katriana di Jalan Ampang. - NSTP/Mahzir Mat Isa

'Ada produksi nak gandingkan saya dengan bekas tunang'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aishah Azman, mendedahkan ada produksi cuba mengambil kesempatan atas kisah putus tunangnya dengan Syafie Naswip apabila berhasrat menggandingkan mereka berdua dalam sebuah drama.

Menyedari perkara itu, Aishah atau nama lengkapnya Nor Aishah Afika Azman Shah, 23, terpaksa menolak tawaran terbabit, apatah lagi dia memang cuba mengelak daripada bekerjasama dengan pelakon berkenaan selepas kontroversi yang tercetus.

“Memang ada tawaran yang datang untuk menggandingkan kami berdua, tetapi saya tidak menerimanya. Bukan takut, cuma saya dapat rasakan mereka sengaja berbuat demikian kerana mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku.

“Berikutan itu, saya terpaksa menolak tawaran terbabit demi kebaikan kedua-dua pihak. Saya sendiri memang cuba mengelak daripada berlakon dengannya. Pada masa sama, saya juga tidak mahu terikat dengan sebarang komitmen lain, bersamanya,” katanya kepada BH Online.

SYAFIE dan Aishah pada majlis pertunangan mereka di Forest Valley Hall, Kuala Lumpur, April lalu. - NSTP/Rohanis Shukri

Aishah dan Syafie, 27, bertunang pada 7 April lalu dan dikatakan sepatutnya mendirikan rumah tangga, akhir tahun ini. Begitupun, pertunangan mereka dilaporkan terlerai, Julai lalu.

Ditanya apakah dia sudah bersedia untuk mencari pengganti, adik kepada pelakon Afiq Muiz ini berkata, hatinya belum terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki.

Aishah bagaimanapun menegaskan, ia tidak bermakna dirinya membenci golongan Adam hanya kerana insiden putus tunang dialaminya, sebelum ini.

“Memang ada lelaki yang cuba mendekati, namun saya lebih selesa bersendirian ketika ini. Saya tidak langsung terfikir untuk kembali bercinta.

“Namun, ia tidak bererti saya membenci golongan lelaki, apatah lagi untuk menganggap mereka semuanya sama. Cuma, fokus saya kini lebih kepada kerjaya.

“Lagipun, usia saya masih muda. Keluarga juga tidak mendesak untuk saya segera mendirikan rumah tangga. Mereka sekadar berpesan agar saya lebih berhati-hati dalam memilih calon suami,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama rantaian, Suri Katriana, di sini.

Menerusi drama berkenaan, Aishah memegang watak sebagai wanita berdepan pelbagai konflik yang akhirnya memberikan kesan terhadap jiwanya.

Berita Harian X