Khamis, 24 Oktober 2019 | 7:54pm
PELAKON, Syafie Naswip. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Ia satu keajaiban - Syafie Naswip

KUALA LUMPUR: “Ia satu keajaiban buat saya.”

Demikian kata pelakon, Syafie Naswip, 27, ketika mengulas keputusan pihak pendakwa raya berhubung kes mencederakan dan mengugut bekas tunangnya, Aishah Azman, sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL) kerana tiada keterangan mencukupi.

Syafie atau lebih mesra disapa Ayie berkata, perkara itu menunjukkan kebenaran tanpa perlu dia membuat sebarang penjelasan atau kenyataan balas mengenai isu pukul pelakon wanita terbabit.

"Selama ini, saya hanya berdiam diri dan mengikut sahaja aliran hidup tanpa memberi sebarang kenyataan balas. Sedangkan saya boleh sahaja berbuat demikian, apatah lagi ketika itu saya dihentam teruk.

"Tetapi saya anggap, berbalas kenyataan takkan memberikan pengakhiran yang baik. Alhamdulillah, pendekatan saya betul dan saya percaya, jika berada di pihak benar, satu hari nanti orang akan tahu juga," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, BH Online melaporkan seorang pelakon lelaki ditahan selepas membelasah bekas tunangnya berikutan berang apabila wanita itu memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya, pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pelakon lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan datang ke rumah bekas tunangnya yang berusia 23 tahun di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Serdang, kira-kira 9 pagi hari kejadian.

Siasatan lanjut berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan melakukan ugutan.

Syafie dan Aishah bertunang pada 7 April lalu, namun ikatan berkenaan tidak bertahan lama apabila mereka memutuskan pertunangan pada 21 Julai.

SYAFIE dan Aishah pada majlis pertunangan mereka di Forest Valley Hall, Kuala Lumpur, April lalu. - NSTP/Rohanis Shukri

Sementara itu, ditanya adakah dia serik untuk kembali bercinta, Syafie menyifatkan setiap perhubungan dijalinkan tidak selalunya indah dan ia juga fasa pengajaran untuk menjadi lebih baik apabila memiliki pasangan baharu nanti.

"Saya anggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai ujian. Kalau belum mampu menerima takdir yang berlaku, tidak mungkin saya dapat memberikan kenyataan seperti sekarang. Ia satu fasa kehidupan untuk menjadi lebih matang.

"Apa yang berlaku juga ada hikmahnya. Saya tidak menolak untuk menjalinkan hubungan baharu, tetapi dalam apa juga perkara, kita perlu melebihkan mak dan ayah," ujarnya.

Berita Harian X