Selasa, 15 Oktober 2019 | 4:01pm
KEMUNCULAN Noorkhiriah pada malam kemuncak ABPBH 32 menjadi titik pencetus tertubuhnya Noorkhiriah FC. Foto Rohanis Shukri

Dah suam baru ada kelab peminat - Noorkhiriah

KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad dalam industri hiburan, Noorkhiriah mengakui, dia tidak pernah terfikir mempunyai kelab peminat sendiri.

Biarpun pernah tiga kali dinobatkan sebagai Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Noorkhiriah akur, popularitinya tidak lagi sehangat dahulu.

Namun, kemunculannya pada kemuncak ABPBH 32 sebagai penyampai trofi bersama Azhan Rani dan Azar Azmi, tanpa diduga mencetuskan permulaan tertubuhnya Noorkhiriah FC.

“Saya bukan lagi popular untuk mempunyai kelab peminat. Lagipun, saya sudah tidak terlalu aktif menerima tawaran dan hanya sesekali ke lokasi penggambaran jika ditawarkan watak bersesuaian.

“Jadi, memang saya langsung tidak terfikir perkara itu. Selepas muncul di pentas ABPBH 32, tidak sangka ada peminat yang menghubungi dan usulkan idea menubuhkan Noorkhiriah FC,” katanya.

AKSI Noorkhiriah pada Separuh Akhir All Stars Buka Panggung, minggu lalu. Foto Sairien Nafis

Pelakon yang membawa watak Aishah menerusi drama rantaian popular, Nur dan Nur 2 itu berkata, sokongan semakin hebat diterima apabila dia menyertai program, All Star Buka Panggung.

“Sebelum menyertai pertandingan itu, terfikir juga siapa yang akan memberikan tepukan semangat ketika saya beraksi. Maklumlah, kebanyakan artis yang bersaing dalam program realiti mempunyai kelab peminat sendiri.

“Saya pula sebaliknya, hanya mempertaruhkan bakat. Tetapi, bermula minggu pertama, peminat mula memberikan sokongan dan jumlah mereka semakin bertambah sehingga saya membolosi Separuh Akhir, seterusnya mara ke final.

“Sebagai artis, saya perlukan peminat, tetapi perasaan rendah diri yang menebal membuatkan saya tidak yakin mempunyai penyokong setia. Iyalah, saya artis suam-suam kuku,” katanya.

Kini disertai hampir 300 peminat, Norkhiriah berkata, dia berharap sokongan yang diberikan akan berterusan, biarpun selepas All Star Buka Panggung berakhir, Jumaat ini,” katanya yang bersaing dengan Datuk Aaron Aziz, Zulhuzaimy dan Rita Rudaini.

Noorkhiriah mengakui, pertandingan itu memberinya cabaran yang tersendiri, malah tidak percaya mampu melayakkan diri ke peringkat akhir.

“Setiap kali sebelum pertandingan bermula, saya jadi tidak menentu. Saya pernah diserang migrain gara-gara terlalu memikirkan soal persembahan, terutama pada awal pertandingan. Saya juga hilang selera makan kerana gementar.

“Persaingan memang sengit dan saya sentiasa pastikan diri berada pada tahap terbaik untuk menghiburkan penonton. Menang atau kalah, saya tidak mahu fikir kerana itu bukan perkara utama,” katanya.

Berita Harian X