Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:31pm
Fikry bersyukur pengorbanan tiga tahun menghabiskan pengajian akhirnya membuahkan hasil apabila memperoleh segulung ijazah, hari ini. Foto NSTP Norzamira Che Noh

Fikry dah 'grad'

SHAH ALAM: Tiga tahun bertungkus lumus menghabiskan pengajian sambil berlakon dan berlawak, Fikry Ibrahim akhirnya menggenggam ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-91, hari ini.

Fikry atau nama penuhnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media yang disampaikan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Berkongsi keterujaan, Fikry memberitahu, dia sepatutnya menghabiskan pengajian dalam tempoh dua tahun. Namun, selepas berkecimpung dalam dunia seni, kekangan masa memaksa dirinya menangguhkan pengajian.

“Selepas menyertai sebuah program realiti lawak, saya menangguhkan pengajian selama dua semester iaitu setahun. Sebenarnya, saya bercadang ‘bercuti’ lagi kerana jadual kerja yang padat.

“Bagaimanapun, saya dinasihatkan pensyarah dan pihak fakulti agar meneruskan pengajian yang hanya berbaki setahun.

“Alhamdulillah, saya teruskan dan berjaya melengkapkan pengajian... Saya amat bersyukur,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Fikry menduduki pengajian diploma di universiti sama sebelum meneruskannya hingga peringkat ijazah sarjana muda.

Tambah Fikry, dia melanjutkan pengajian demi meraih pengalaman dan mendapatkan ilmu. Hakikatnya, dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi selebriti.

“Bagaimanapun, saya fikir, kalau saya tidak menyambung pengajian, mungkin saya tidak akan berada di tahap ini sekarang,” katanya.

Pelakon drama Kau Yang Pertama itu adalah antara 1,517 graduan yang menerima ijazah pada sidang kelapan dan kesembilan, hari ini.

Berita Harian X