Rabu, 9 Oktober 2019 | 2:09pm
AMYZA memohon diberi Allah kekuatan untuk menjaga suaminya yang diserang strok, baru-baru ini. Foto IG Amyza Aznan

Suami Amyza Aznan diserang strok

KUALA LUMPUR: “Sekalipun awak lumpuh, kasih sayang dan setia saya tidak akan lumpuh,” demikian coretan pelakon dan pengacara, Amyza Aznan di laman Instagram ketika berkongsi berita mengenai suaminya, Khairil Idzhar Md Nazir yang diserang strok, baru-baru ini.

Menerusi video kompilasi gambar sempena ulang tahun perkahwinan ke-16 mereka di laman sosial itu, Amyza turut berdoa supaya Allah memegang hatinya untuk tidak berpaling ketika menempuh saat getir itu.

“Semoga Allah pegang hati ini untuk tidak berpaling dan tidak lelah menjaga, menyayangi, mencintai serta memanjakan kamu.

“Walaupun awak ada strok, doa saya supaya awak tetap menjadi suami dan bapa kepada anak kita dunia serta akhirat. Semoga ke jannah nanti,” tulisnya.

Menerusi muat naik sama, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Mat Despatch itu turut meminta maaf kerana tidak dapat berkongsi aktiviti terbaru berkaitan kerjaya lakonan dan pengacaraan.

“Saya minta maaf kepada semua pihak yang terbabit, termasuk syarikat produksi dan penganjur majlis. Bukan saya tidak mahu berkongsi gambar atau aktiviti berkaitan di Instagram, jauh sekali memilih bulu.

“Tetapi, ketika ini, saya ada perkara penting yang perlu saya utamakan iaitu menjaga suami yang diserang strok. Insya-Allah, apabila semuanya beransur baik nanti, saya akan kongsi kerja mengacara dan lakonan di Instagram,” tulisnya lagi.

Video yang dimuat naik itu mengundang hiba pengikutnya, termasuk teman artis seperti Haiza, Ezlynn, Azza Zawari, Zarina Zainuddin, Noniswara dan Linda Rafar yang turut melayangkan ucapan untuk memberikan kata semangat kepadanya.

Terdahulu, pada Disember 2017, Khairil Izhar pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan kerana serangan jantung.

Amyza dan Khairil mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, Adrian Adam serta Ayden Andika

Berita Harian X