Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:00pm
Kaka mengaku lebih sensitif dan mudah menitiskan air mata sejak berbadan dua. Kaka dan Adam berkahwin, Disember tahun lalu. Foto NSTP Faiz Anuar

Berbadan dua, Kaka mudah menangis

KUALA LUMPUR: Mudah tersentuh dan menitiskan air mata tatkala berbicara, penyanyi Kaka Azraff sukar menjangka emosinya ketika hamil.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 30, mengaku lebih menghormati ibu apabila melalui sendiri fasa kehamilan.

Malah, dia menasihatkan remaja menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa selagi berpeluang untuk berbakti.

“Saya tidak dapat menduga perkara yang membuatkan diri sebak dan menitiskan air mata. Ini kerana semuanya berlaku tanpa dijangka.

“Jika diikutkan, saya bukanlah mudah menangis, namun, rasanya hormon adalah faktor utama yang menyumbang kepada perkara ini.

“Melalui sendiri kesusahan dan kepenatan berbadan dua, saya lebih menghargai pengorbanan ibu.

“Bagaimana beliau dapat membesarkan empat anak dan komitmen lain. Apatah lagi menyedari sikap dan kerenah kami selama ini,” katanya kepada BH Online.

Kaka berkata, semua orang perlu menghargai setiap detik yang diluangkan bersama ibu bapa.

“Hargailah mereka kerana setiap detik yang diluangkan bersama insan tersayang tidak dapat dijual beli. Saya bersyukur kerana menyedari hakikat ini ketika ibu masih ada dan punya masa untuk membalas pengorbanan mereka,” katanya.

Penyanyi yang sebelum ini tampil dengan single Sibuk berkongsi persediaan dan debaran menjelang kelahiran anak sulungnya pada majlis pelancaran video muzik single terbarunya, Diamonds, baru-baru ini.

Kaka mengakui pengalaman sepanjang hamil sangat berharga.

“Selain mengalami penambahan berat badan sebanyak 15 kilogram, saya berdepan masalah alahan pada akhir kehamilan.

“Sebenarnya, saya sudah mengah untuk menyanyi, namun tetap ingin melancarkan single ini sebagai buah tangan buat peminat,” katanya.

Kaka dan suaminya, Adam Azriff berkahwin pada 14 Disember tahun lalu.

Berita Harian X