Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:00am
Mimi Lana terima semua pandangan dan kritikan peminat secara terbuka. Foto NSTP Mahzir Mat Isa
Mimi Lana terima semua pandangan dan kritikan peminat secara terbuka. Foto NSTP Mahzir Mat Isa

'Saya memang macam ini'

KUALA LUMPUR: Pelakon Mimi Lana tidak mudah melatah dengan komen peminat mengenai penampilannya yang dikatakan seksi berbanding karakter yang sering dilakonkan di televisyen (TV).

Mimi atau nama penuhnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 24, terbuka menerima pandangan termasuk kritikan peminat mengenai gaya berpakaian, namun masih menjaga batas dalam berhias.

“Dari dulu saya begini, tidaklah terlalu seksi sehingga memakai bikini dan sebagainya. Saya anggap teguran peminat bukanlah perkara tidak baik. Semuanya peringatan agar saya tidak melanggar sensitiviti segelintir pihak.

“Mungkin ada kelompok peminat yang baru mengenali saya dan terkejut melihat cara berpakaian. Barangkali, ada yang terkejut kerana kenal saya melalui watak dalam drama yang memerlukan saya bertudung.

“Namun, tidak bermakna mereka salah, cuma tidak biasa dengan penampilan sebenar saya,” katanya kepada BH Online.

Mimi berkata, peminat yang mengenali dirinya sejak dahulu, peka dengan cara dia berpakaian.

“Mereka tahu bagaimana gaya dan pemakaian saya. Setiap komen yang diterima membabitkan isu seksi ini saya balas dengan cara baik. Ini kerana saya hargai pendapat mereka,” katanya kepada BH Online.

Beraksi dalam filem Pusaka yang akan menemui penonton pada 31 Oktober depan, Mimi Lana yang mula dikenali menerusi drama Cari Aku di Syurga, kali pertama digandingkan dengan kekasih hati, Syafiq Kyle.

“Karakter ditawarkan sesuai buat saya dan Syafiq. Lebih mudah untuk kami bekerja apatah lagi dengan adanya barisan pelakon dan kru produksi yang profesional.

“Seperti ramai tahu, Syafiq adalah pelakon yang bagus dan ini memudahkan semua proses,” katanya.

Mengenai hubungan cinta mereka, Mimi Lala berkata:

“Biarpun sudah membuat kenyataan mengenai hubungan kami, namun, ada sesetengah perkara yang disimpan untuk diri sendiri.

“Saya tidak dapat menentukan apa yang dia hendak buat. Kita buat apa yang kita suka dan selesa.”

Selain Syafiq, Pusaka antara lain menampilkan Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi dan Sweet Qismina.

Berita Harian X