Jumaat, 4 Oktober 2019 | 4:44pm
PENYANYI, Hattan, gagal menahan sebak sewaktu mempersembahkan lagu baharunya, 5 Oktober. - NSTP/Mahzir Mat Isa
PENYANYI, Hattan, gagal menahan sebak sewaktu mempersembahkan lagu baharunya, 5 Oktober. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Hattan menangis nyanyi lagu baharu

PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Hattan, 54, gagal menahan sebak saat menyampaikan lagu berjudul 5 Oktober pada majlis pelancaran single terbarunya itu di Mutiara Damansara, di sini, hari ini.

Mengakui terkesan dengan lagu ciptaan Nazri Osman atau Jebon dan lirik nukilan Bob Lokman itu, Hattan terpaksa menghentikan nyanyian selepas cuba mengulanginya buat kali kedua.

Lirik 5 Oktober ditulis sebagai luahan rasa Bob terhadap kehilangan anak sulungnya, Muhammad Adam, yang meninggal dunia, setahun lalu, selepas pengsan di rumahnya, di Sungai Buloh.

"Maafkan saya... Saya tak boleh nak teruskan nyanyian. Melodi dan lirik lagu ini sangat menyentuh hati, sekali gus membuatkan saya teringatkan arwah Adam.

"Saya kenal arwah sejak kecil lagi dan kami memang rapat. Kehilangannya amat saya rasakan," katanya kepada BH Online.

Allahyarham mempunyai sejarah ketumbuhan dalam otak dan pernah beberapa kali pengsan akibat penyakit dialaminya itu.

Pada majlis itu, penyanyi Rendang Tak Berbuah ini turut melancarkan video muzik lagu berkenaan, yang akan dikongsi di YouTube, jam 8 malam ini.

"Banyak kenangan tersimpan dalam video muzik lagu ini dan antara lokasi yang dipilih termasuk air terjun sering dikunjungi arwah," ujarnya.

Berita Harian X