Khamis, 3 Oktober 2019 | 9:00am
Norshila lebih suka anak-anak mencipta nama sendiri, bukan menumpang populariti dirinya. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Norshila lebih suka anak-anak mencipta nama sendiri, bukan menumpang populariti dirinya. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

'Nak popular, popularlah sendiri...'

KUALA LUMPUR: Dikurniakan empat cahaya mata yang boleh menyanyi, Norshila Amin mahu mereka popular atas usaha sendiri, bukan menumpang namanya sebagai artis senior.

Norshila yang popular dengan lagu Aku Sudah Jatuh Cinta pada era 1980-an, lebih suka keempat-empat anak yang berusia antara 23 hingga 33 tahun, bergerak sendiri dalam mencari tapak.

“Boleh dikatakan semua anak saya cenderung dalam bidang nyanyian. Dua daripada mereka boleh mencipta lagu dan bermain muzik.

“Mereka rajin memuat naik klip video di YouTube berikutan minat mendalam. Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong mereka,” katanya kepada BH Online.

Norshila, 55, memberitahu, sejak anak-anak berusia belasan tahun, dia sudah meminta mereka berusaha sendiri.

“Kesungguhan ditunjukkan anak lelaki saya apabila menyambung pengajian dalam jurusan muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ini membuktikan mereka serius dalam bidang ini.

“Lantas, sekarang saya sedia bekerjasama dengan mereka dalam projek pembikinan single terbaru,” katanya mengulas mengenai single berjudul Lari yang dihasilkan mereka.

Mengenai single berkenaan, lagu berunsur motivasi itu diharap dapat menjadi lagu latar untuk pertandingan sukan.

Klip video lagu itu boleh dianggap promosi awal dan ‘pemanas’ kepada Norshila untuk aktif semula dalam bidang seni, apatah lagi dia menjadi antara 13 peserta yang bersaing di musim keenam program realiti, Gegar Vaganza (GV6).

“Dalam tempoh lima hingga enam tahun kebelakangan ini, saya lebih banyak memberi tumpuan kepada perniagaan yang membawa saya berulang-alik ke Singapura dan Brunei.

“Melihat potensi perniagaan selain sokongan peminat terhadap barangan dijual selebriti mendorong saya kembali ke arus perdana dunia seni,” katanya.

Bermula 13 Oktober ini, Norshila bersama 12 penyanyi berpengalaman termasuk Wann, Nurfatima, Sham Visa dan Roy bakal berentap dalam pertandingan itu.

Berita Harian X